HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Oktober 2017

Pergi Mampuslah Umno

Oleh

 
 
Tajuk buku PERGI MAMPUSLAH UMNO  dianggap sebagai ganas dan tidak seharusnya datang dari seorang yang sepatutnya berterima kasih kepada UMNO kerana pernah menjadi menteri menerusi UMNO. Inilah  sikap orang yang tidak tahu mengenang budi.

Inilah  pandangan terhadap saya dari  penyokong UMNO  yang tidak mempunyai kejatian diri, tidak menghayati dan memahami sejarah UMNO untuk membolehkan mereka merasa dan  melihat  betapa UMNO telah tersesat dari jalan kebenarannya.

Saya dapat merasakannya kerana saya  mengenali UMNO dari sejak  era kepimpinan  presidennya yang pertama Datuk Onn Jaafar hingga sekarang, mengikuti dan mendekati mereka sebagai wartawan tetapi saya tidak pernah melihat dan merasa kehilangan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan mereka  seperti yang berlaku di era Abdullah Badawi dan Najib Tun Abdul Razak.

Dalam keadaan UMNO berada pada nafasnya yang terakhir pada pilihanraya 1990, saya boleh  mendakwa telah  menyelamatkan UMNO bila Tengku Razaleigh  berkonspirasi dengan PBS untuk  menggulingkan kerajaan BN  pada Piliharaya Umum. BN dan khsususnya UMNO sudah terkapar-kapar  kerana semua benteng pertahanannya telah runtuh dua hari menjelang  pilihanraya itu.

Ditakdirkan  Allah  pada malam 18 Oktober 1990, ketika mesyuarat  Jawatankuasa Perang Sarap Pilihanraya BN di rumah Wan Ismail Wan Mahmood (bapa mertua Anwar Ibrahim) di Jalan Maarof, saya  ternampak di kaca TV RTM Tengku Razaleigh memakai tengkolok berlambang salib dalam sidang akhbar bersama Presiden PBS Joseph  Pairin Kitingan di Sabah.

Saya mengexploitasi gambar  ini sepenuhnya  dengan menjadikannya sebagai sisipan kepada Utusan Malaysia keluaran 19 Oktober yang diedarkan sebanyak lebih 250,000 naskah keseluruh negara. Di bawah gambar itu tertulis "Oh Tuhan Jesus Christ selamatkan  46 Amin"

Gambar ini sangat berkesan seperti berkesannya video Kelantan Dalam Gerhana semasa saya menjadi Timbalan Menteri Penerangan yang hampir menjatuhkan kerajaan Pas Kelantan. MB Kelantan  Tok Guru Nik Aziz mengecap saya sebagai  budak celaka.

Apabila saya disingkirkan dari jawatan Ketua Pengarang Utusan Melayu kerana dianggap menderhaka kepada Mahathir, saya tidak merasa sedih atau marah kerana saya rasa telah menjalankan tanggungjawab saya mengikut kepercayaan saya atas prinsip profesionalisme.

Apabila Mahathir  melantik saya sebagai Senator mungkin kerana menyedari kebenaran pendirian saya menganggap  Anwar Ibrahim sebagai  anasir asing yang menyusup ke dalam  UMNO, Pengerusi Utusan Melayu, Tan Sr Khalid Abdullah menyatakan  "Zam, Mahathir tak terhutang apa2 lagi pada you". Saya faham.

Kebimbangan saya dengan kehadiran Anwar  ialah mengancam masa depan Najib  dalam UMNO.

Najib pernah memanggil saya ke pejabatnya ketika dia menjadi menteri pertahanan  apabila mengetahui saya akan disingkirkan dan memberitahu "Zam you pergilah jumpa Mahatir" dan saya bertaya "mengapa harus saya berjumpa dengannya."

Saya sempat berada bersama Najib di bawah pimpinan Abdullah Badawi tetapi saya kecewa kerana apabila beliau mengambil alih dari Abdullah Badawi beliau  mahu mengambil hati rakyat terutama orang Cina dengan menunjukkan liberalisme yang lebih hebat dari Abdullah. Beliau seolah-olah tidak memahami sejarah  keharmonian dan kestabilan Malaysia  kerana kebebasan yang terbatas.

Beliau dengan bangga menghapuskan ISA yang menerima tentangan dari dalam UMNO sendiri dan dari sini bermula berbagai dasar dan sikap flip-flop. Menyedari kelemahan ini pembangkang mengexsploitasi sepenuhnya menyebabkan maruah kepimpinannya terhakis hari demi hari.Yang terakhir tertipu  dengan projek menggulingkan kerajaan negeri Selangor yang gagal walapun menteri -menteri dan sidang media  tergempar dipanggil berserta siaran langsung TV.Hal ini menjadi bahan ketawa negara.

Bila semakin tertekan ternyata beliau semakin tidak demokratik. Hasratnya hendak menggambarkan dirinya sebagai tokoh demokrasi terbalik kepada imej autoritarian yang tidak bijaksana..

Pandangan saya yang  kritikal terhadap Najib dilihat oleh sesetengah orang sebagai  merbahaya kepada UMNO jika saya terus berada dalam UMNO. Mereka ini tentuya melihat diri saya lebih besar dari  saya yang sebenarnya. Siapalah saya.

Saya tidak akan menjadi mana-mana anggota parti politik walaupun telah dijemput berkali- kali kerana saya tidak ada cita-cita politik. Politik bukan lapangan saya sebaliknya penulisan dan kewartawanan  adalah medan perjuangan saya secara sendirian. Ada orang yang menilai saya lebih dari sepatutnya

Hubungan saya dengan UMNO sekarang  adalah ibarat putusnya hubungan  cinta sejati. Saya merasa kekasih berkhianat dan  bersikap curang. Sekalipun saya kecewa, patah hati, sedih dan hiba tetapi sukar untuk dipadamkan kasih sejati yang terpendam amat mendalam sekian lama. Sekalipun dalam kekecewaan  tetapi  sukar untuk mengucapkan selamat tinggal.

Untuk mengetahui perasaan  sebenar saya terhadap UMNO, bacalah "PERGI MAMPUSLAH UMNO" yang merupakan kompilasi dari tulisan saya di blog zamkata.

Saya mengakhiri buku ini dengan konklusi  bahawa Tun Mahathir  menjadi  punca keruntuhan peradaban suatu bangsa yang dibinanya atas kepercayaan  meterialisme sebagai  pengangkat maruah dan pertahanan bangsa tanpa memberikan perhatian berat kepada pengawalan  moral dan integriti yang  membawa kepada pendedahan memalukan manusia Melayu yang tamak haloba  memburu kekayaan dan kehidupan mewah dengan mengenepikan nilai-nilai yang baik  sehingga akhirnya mengheret peneroka Felda membeli saham dengan menanggung hutang.

Perbezaan nilai inilah yang  menyebabkan negara kecil Singapura menjadi besar dan negara besar Malaysia menjadi kecil kerana tidak menyemai dan menekankan   prinsip moral dan undang-undang kepada rakyatnya menerusi sistem kepartian dan kepimpinan negara dengan tegas dan berani.
 
 Anda boleh membeli  terus PERGI MAMPUSLAH UMNO dari penulisnya Tan Sri Zainuddin Maidin dengan harga sebuah RM35 temasuk belanja pos, hantar ke akaun CIMB 8002397357. Sertakan slip bank-in dan alamat lengkap anda dan nombor phone ke e-mail  zainudinmaidin@gmail.com

Sumber:http://zamkata.blogspot.my 
 
 

Tiada ulasan: