Roketkini.com
KUALA LUMPUR- Adun Pasir Pinji, Howard Lee secara sinis menzahirkan rasa ‘sakit hati’ terhadap layanan ‘buruk’ yang diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam lawatannya ke Amerika Syarikat pada bulan lepas.
Berbanding Najib, katanya, Presiden Singapura Lee Hsien Loong, menerima layanan yang amat baik oleh Presiden AS, Donald Trump.
“Namun, apa yang lebih menyakitkan hati adalah apabila Ketua Kleptokrat yang merupakan MO1 masih berada di tampuk kuasa selepas pilihan raya umum akan datang.
“Hanya kemenangan Pakatan Harapan dapat memulihkan rasa sakit hati ini, ia malah dapat membersihkan nama negara yang buruk sejak Najib memerintah,” ujarnya dalam kenyataan, baru-baru ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan dilaporkan tidak menetap di kediaman rasmi tetamu Presiden, Blair House, seperti amalan biasa kunjungan pemimpin-pemimpin luar negara ke Amerika Syarikat. Hsien Loong sebaliknya menetap di kediaman tersebut.
Malah, kata Howard yang juga Setiausaha Biro Antarabangsa Sosialis Muda DAP (DAPSY), pemimpin negara jiran itu juga tidak berjanji seperti Najib yang mahu kononnya “mengukuhkan ekonomi AS”.
“Dijangkakan perjanjian yang dimeterai antara Singapura dan AS – tidak seperti perjanjian Najib yang masih ‘diusahakan’ – bakal menjana 70,000 peluang pekerjaan bagi rakyat AS,” ujarnya.
Syarikat penerbangan Singapura, Singapore Airlines dilaporkan menandatangi perjanjian pembelian dengan Boeing bagi membeli 39 kapal terbang baru.
Najib dalam lawatannya ke AS pula telah mengumumkan bahawa kerajaan melalui Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) akan membeli 25 pesawat Boeing 737 dan 8 pesawat 787 Dreamliners.
Beliau juga berkata bahawa kerajaan mungkin akan membeli 25 lagi pesawat 737 pada masa akan datang dengan jumlah yang bernilai lebih US$10 bilion atau RM42 bilion dalam tempoh 5 tahun.
Kata Howard lagi, Najib juga tidak seperti Hsien Loong apabila tidak berani berhadapan dengan media AS dan mengadakan sidang media bersama Trump.
Media AS antaranya The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan mengenai salah laku dalam 1MDB dan sering mengaitkan nama Najib dengan skandal syarikat milik penuh negara itu. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan