Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Pembangkang dialukan-alukan mengkritik Bajet 2018 yang
dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secara konstruktif,
bukannya demi meraih 'political mileage' murahan semata-mata.
Penganalisis politik, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat tidak
timbul isu 'tiru-meniru' seperti yang dilemparkan pembangkang.
Ini kerana tegas beliau, kerajaan menerusi belanjawan itu membawa dasar
dan perancangan atas kapasiti nasional, justeru tidak mustahil wujud
persamaan dengan dasar di peringkat negeri.
"Kalau dipolitikkan secara konstruktif maksudnya perlu lah. Pembangkang
boleh kalau dia nak kritik. Dia rasakan dari segi pelaksanaan ataupun
ada apa-apa dasar yang dia rasakan sepatutnya diperkenalkan sesuatu yang
lebih baik, ataupun yang kurang ditekankan oleh kerajaan dan
sebagainya. Itu hak dia nak mengkritik.
"Tetapi kalau benda yang hanya nak kata kita dah buat dulu, nak meniru.
Sepatutnya isu begini tidak timbul, tiru meniru tidak ada lah. Jadi
kalau nak cari 'political mileage' sekalipun kritik lah secara
konstruktif berkenaan dasar tersebut. Tidaklah kritik secara tidak
berhemah.
"Jadi kalau itu yang dijadikan ukuran sama atau tidak sama dan
sebagainya itu adalah satu political mileage murahan. Tidak cukup kuat
untuk meyakinkan rakyat bahawa apa yang pembangkang buat itu berkesan
ataupun lebih awal dan sebagainya daripada kerajaan persekutuan,"
katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Bajet 2018 yang bertemakan 'Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang
Keunggulan Duniawi dan Ukrawi Demi Mensejahtera Kehidupan' dibentang
Najib Jumaat lalu, bernilai RM280.25 bilion, lebih RM20 juta berbanding
Bajet 2017 yang lalu.
Ia merangkumi RM234.5 bilion untuk pengurusan, manakala RM45.75 bilion lagi bagi belanja pembangunan.
Susulan itu, rata-rata pemimpin pembangkang mengkritik belanjawan
berkenaan selain menyifatkannya mirip Belanjawan Alternatif Pakatan
Harapan (PH).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mempertikaikan belanja mengurus meningkat 84% berbanding belanja pembangunan 16%.
Pengumuman Najib memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga di Shah
Alam dan Plaza Tol Sungai Rasau di Klang turut dikritik Azmin.
Azmin mendakwa perkara itu hanya dilakukan kerajaan persekutuan selepas
melihat permintaan rakyat di Selangor di kala mereka dihimpit kos sara
hidup yang semakin meningkat.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula mendakwa
pengumuman-pengumuman oleh perdana menteri merupakan sebahagian daripada
strategi untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan
berlaku bila-bila masa dari sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan