SEPANG: Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Azmi Ariffin hari ini
dibawa melawat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2);
lokasi lelaki Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam didakwa diracun
dengan agen saraf VX.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah kakitangan mahkamah, barisan
pendakwaan dan pembelaan serta dua tertuduh kes itu, warga Indonesia,
Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28.
Siti Aisyah dan Thi Huong didakwa membunuh Jong-nam bersama-sama empat
lagi yang masih bebas di Balai Berlepas KLIA2, Sepang dekat sini
kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.
Pertuduhan terhadap kedua-dua wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen
302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika
sabit kesalahan.
Lawatan yang dilakukan pada hari kesembilan perbicaraan kes itu
dimulakan dengan melawat kiosk daftar masuk (tempat Jong-nam didakwa
disapu dengan agen saraf) yang terletak di ruang legar Balai Pelepasan,
demikian menurut laporan Utusan Malaysia.
Kesemua yang terlibat akan dibawa ke tandas wanita tingkat 3 iaitu
tempat Thi Huong dikatakan membasuh tangan selepas menyapu ‘sesuatu’
terhadap mangsa.
Mereka juga dibawa melawat Klinik Perubatan Menara yang terletak di
tingkat 2, KLIA2 iaitu lokasi lelaki Korea Utara itu diberi rawatan
awal.
Lawatan tersebut dibuat atas permintaan barisan pembelaan bagi
memudahkan mereka mengenal pasti lokasi yang dirakam dalam beberapa
rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan pergerakan mangsa
dan dua suspek wanita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan