HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Oktober 2017

Kerajaan tak perlu 'bayar' untuk jumpa Trump, kata Najib

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak mengeluarkan sesen pun untuk bertemu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam lawatan kerja tiga hari pada September lalu.
 
Ia ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sambil menyindir bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sanggup berbelanja sehingga berjuta ringgit untuk menemui George W Bush pada 2002 yang lalu.
 
Sebelum ini Dr Mahathir pernah dikritik sebagai hipoktrit apabila sanggup berbelanja RM7 juta demi menemui Bush, melalui seorang pelobi.
 
"Jemputan Trump dibuat atas urusan kerajaan. Saya tak perlu membayar apa-apa untuk mendapatkan jemputan tersebut. Pendahulu saya (Dr Mahathir) melakukan perkara tersebut untuk mendapatkan jemputan Bush.
 
"Kita tidak mengamalkan kaedah itu. (Itu dilakukan) pendahulu saya (yang kini) diterima pembangkang sekarang," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, pagi tadi.
 
Tanpa melobi, Najib berkata dirinya tetap mempunyai hubungan yang baik dengan AS sebagai satu kuasa besar dunia, malah perkara itu dianggap sebagai satu pengiktirafan kepada Malaysia.
 
"Walaupun saya tak duduk di Blair House tetapi saya ada jemputan bermain golf dengan Trump. Malah Trump juga hantar saya ke kereta. 
 
"Kita tak payah sebut perkara ini. Soalnya, dasar kita tetap mendapat penghormatan tinggi dari pentadbiran AS," kata Najib.
 
Najib berkata demikian bagi menjawab pertanyaan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkenaan penginapan rombongan Malaysia ke AS pada 11 hingga 13 September lalu di Hotel Trump International.
 
Selain bertanyakan apakah rakyat Malaysia 'membayar' kos penginapan tersebut, Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut mengajukan sama ada Malaysia menukar dasar perdagangan dan pelaburan daripada neutral kepada 'mesra-AS'.
 
"Kita bukan menukar dasar luar negara kerana ia memang berasaskan kepada soal prinsip. Kita tidak akan ubah hanya kerana mengikut keadaan dan situasi," tegas Najib.
 
Tegas Ahli Parlimen Pekan itu lagi, hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan AS dari segi pelbagai sektor mampu menjana manfaat terbesar, terutama dalam ekonomi negara.
 
"Saya menjangkakan bahawa dengan langkah ini bahawa dalam jangka masa sederhana dan panjang, kita akan lihat kepada peningkatan hubungan ekonomi, penambahan pelaburan dan sebagainya.
 
"Inilah antara kejayaan yang akan kita kecapi apabila ada hubungan baik dengan negara dan kuasa besar, bukan sahaja AS, tetapi dengan semua kuasa-kuasa besar," ujar Najib.
 
 

Tiada ulasan: