KUALA LUMPUR: Sejak menjadi anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)
mulai 1957, Malaysia sentiasa menjadi anggota aktif dalam mempromosi
tiga tonggak organisasi antara kerajaan iaitu keamanan dan keselamatan,
hak asasi manusia dan pembangunan, kata Kementerian Luar.
Ia berkata sebagai tambahan dalam memenuhi komitmen dan tanggungjawab
antarabangsa di bawah rangka kerja PBB, Malaysia turut memainkan peranan
berkesan sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB pada 1965,
1989-1990, 1999-2000 dan 2015-2016.
Kementerian Luar berkata Malaysia kekal komited dalam menyokong dan
melaksana Agenda Matlamat Pembangunan Lestari 2030 dan Matlamat
Pembangunan Lestari (SDG).
"Tiga komponen SDG itu ialah pertumbuhan ekonomi, keperluan sosial dan
perlindungan alam sekitar adalah selaras dengan Rancangan Malaysia
Kesebelas.
"Pada Julai tahun ini, Malaysia membentangkan Kajian Sukarela Nasional
(VNR) di Forum Politik Peringkat Tinggi mengenai SDG di New York. VNR
yang melapor tindakan dan langkah yang diambil Malaysia bagi memajukan
pelaksanaan SDG membuktikan komitmen berterusan Malaysia bagi mencapai
Agenda 2030," kata Kementerian dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena
sambutan Hari PBB pada Isnin.
Dari segi keamanan dan keselamatan, Malaysia menyokong peranan utama
PBB dalam mengekal keamanan dan keselamatan antarabangsa, kata
Kementerian.
"Pada September tahun ini, Malaysia menandatangani Perjanjian
Pengharaman Senjata Nuklear di New York. Ia menggambarkan komitmen dan
sokongan Malaysia kepada prinsip umum dan pelucutan sepenuhnya serta
langkah ke arah mencapai matlamat dunia yang bebas senjata nuklear.
"Malaysia turut mengambil bahagian aktif dalam misi pengaman sejak
1960. Sehingga kini Malaysia menyertai 36 misi pengaman dengan
menghantar 35,000 anggota tentera dan polis," katanya.
Kementerian berkata Malaysia akan terus menjuarai bagi mempromosi
kesederhanaan dan merapatkan jurang perbezaan dan menyelesaikan
pertikaian selain membanteras keganasan ekstrem dan radikalan di PBB.
"Malaysia sedang berusaha untuk membawa Resolusi Kesederhanaan pada Perhimpunan Agung PBB Sesi Ke-27," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan