HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Oktober 2017

Najib 'dedikasi' 13 perenggan ucapan selar 'bekas pemimpin'

MALAYSIAKINI

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kritikan beliau paling keras terhadap mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memperuntukkan hampir satu pertiga ucapan beliau membidas pengerusi HARAPAN itu.

Sejumlah 13 perenggan daripada ucapan sepanjang 47 perenggan itu didedikasikan untuk mengkritik Mahathir yang enggan dirujuk beliau dengan nama tetapi hanya digelar 'bekas pemimpin'.



Najib menyampaikan ucap tama berjudul 'Governance in a Developing Democracy' dalam majlis makan malam anjuran United Nations Assocation Malaysia (Unam) di ibu negara malam ini.

Perdana menteri dalam ucapannya mengeluh tentang apa yang dikatakannya sebagai 'wabak berita palsu'.

"Dari semasa ke semasa, beberapa media Barat telah melaporkan wawancara dengan salah seorang bekas pemimpin dan menghidangkan dakwaan beliau terhadap negara sebagai fakta.

"Ia tidak betul. Bekas pemimpin ini, selama hampir tiga tahun misi tidak sah beliau adalah menggulingkan kerajaan Malaysia yang dipilih secara demokratik di antara kitaran pilihan raya," kata beliau.

'Sebar berita palsu'

Bekas pemimpin itu, tambah Najib telah cuba 'berbagai cara dan gagal setiap kali melakukannya'.

Akibatnya, Najib berkata pemimpin itu membuatkan dirinya bersedia kepada sebarang organisasi media yang mahu mendengar supaya beliau boleh 'menyebarkan berita palsu dan memberitahu penipuan mengenai negara untuk faedah politik yang mementingkan diri sendiri'.

"Beliau fikir jika beliau kerap memberitahu suatu penipuan , orang ramai akan mula percaya ianya sebagai kebenaran.

"Dan malangnya mungkin itulah yang terjadi kerana tiada sesiapa yang menjangkakan seorang bekas pemimpin akan memberitahu sesuatu yang tidak benar sama sekali," katanya.

Misalnya, Najib menyebut dakwaan mantan pemimpin itu yang mendakwa Malaysia sebagai salah sebuah 10 negara paling korup di dunia.


"Apabila dicabar untuk mengemukakan bukti bagi hal ini, beliau tidak mampu berbuat demikian. Ini kerana ia tidak masuk akal," jelas Najib.

Memetik kedudukan terbaru NGO Transparency International, Najib menunjukkan Malaysia disenaraikan di tangga ketiga di kalangan negara-negara yang kurang korup, pada tempat ke 55 daripada 176 buah negara.

Najib turut menafikan dakwaan negara sedang menuju pemerintahan diktator.

"Kami membenarkan demonstrasi menentang kerajaan di Kuala Lumpur. Ini bukan penanda kediktatoran. Dakwaan itu tidak munasabah.

"Ironinya bekas pemimpin itu juga telah mengakui bahawa beliau ialah seorang diktator semasa berhidmat dalam kerajaan. Ini kata beliau, bukan saya," kata Najib mengundang tawa hadirin.

Kapitalisme kroni

Najib maklum banyak yang telah berubah semenjak era bekas pemimpin itu.

"Kita telah menjelaskan bahawa tiada lagi kapitalisme kroni.

"Kita telah melabur dalam keperluan infrastruktur dan pengangkutan awam Malaysia serta di negeri-negeri pembangkang dan juga negeri-negeri BN, tidak ketika era beliau," selar Najib lagi.

Selain serangan terhadap Mahathir, ucapan Najib juga menggariskan inisiatif yang dibuat beliau yang didakwa penting terhadap urus tadbir yang baik di dalam negara.

"Pertamanya, konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Keduanya, Program Transformasi Kerajaan dan ketiga, Program Transformasi Ekonomi," ucap Najib.

Tiada ulasan: