HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Oktober 2017

Polis gali semula kubur kanak-kanak terkena serpihan batu asah

 
 Polis gali semula kubur kanak-kanak terkena serpihan batu asah



Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menggali semula kubur jenazah Nur Aliya Syifa Murad, 5, yang meninggal dunia akibat terkena serpihan batu pengasah mesin rumput ayahnya di Kampung Tanjung Besar dekat sini, Jumaat lepas.

Perintah bagi kebenaran menggali kubur dan mengeluarkan jenazah kanak-kanak itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid, Kubang Rotan di sini dikeluarkan oleh mahkamah, semalam.

Proses mengeluarkan jenazah kanak-kanak itu mengambil masa kira-kira satu jam setengah yang bermula pukul 9.25 pagi dan terus dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, Nur Aliya Syifa cedera di bahagian dada kiri selepas batu pengasah yang sedang diasah ayahnya pecah dan serpihannya terpelanting terkena dadanya sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mior Farid Al Athrash Wahid berkata pihaknya sudah memperoleh perintah mahkamah untuk mengorek semula kubur kanak-kanak terbabit, semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana kecuaian hingga menyebabkan kematian yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Saya minta masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini dan biarkan pihak polis menjalankan siasatan,\” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Fadzil Abdul Rahim, 50, berkata keluarganya dimaklumkan tentang proses berkenaan kira-kira pukul 5 petang semalam oleh pihak polis.

“Proses ini dibuat berikutan proses bedah siasat tidak dijalankan oleh pihak hospital pada awalnya.

Ini kehendak undang-undang, jadi kita ikut sahaja tetapi saya minta urusan pengebumian semula dapat diuruskan dengan baik,” katanya.

Fadzil juga meminta masyarakat supaya menghentikan sebarang spekulasi di laman sosial berhubung perkara ini bagi menjaga perasaan ibu dan ayah mangsa yang masih dalam keadaan sedih dan trauma.

Dalam pada itu, ibu mangsa Sabda Abdul Rahim, 41, dilihat beberapa kali pitam di perkarangan kubur sebelum dibawa keluar oleh anggota keluarga manakala ayah mangsa, Murad Othman@Aziz, 40, hanya tertunduk sambil ditenangkan saudara-mara.


Tiada ulasan: