MALAYSIAKINI
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) kecewa Bajet 2018 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.
Presidennya, Mazlan Aliman berkata ini kerana insentif dan peruntukan bagi peneroka-peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam belanjawan 2018 itu tidak menyeluruh.
Menurut Mazlan, walaupun beberapa peruntukan yang berkaitan Felda diumumkan, namun ia gagal merungkai situasi kritikal yang melanda Felda kebelakangan ini.
Selain itu, status terkini Projek Perumahan Generasi Baru Felda (FGBF) yang diumumkam pada 2012 turut dipersoalkan.
“Apakah kesudahannya PGBF sebanyak 20,000 unit dengan kos RM1.4 bilion diumumkan pada tahun 2012. Dimaklumkan oleh Pengerusi Felda ketika itu (2012), Tan Sri Isa Samad, sebanyak 8,570 unit akan mula dibina dan dijangka siap dalam masa 5 tahun.
“Yang pasti, perumahan Generasi Baru ini terbengkalai sehingga kini, dan tidak dapat dipastikan bila mahu dipulihkan,” kata Mazlan dalam satu kenyataan.
Durian runtuh
Najib ketika membentangkan belanjawan 2018 semalam mengumumkan lebih 112,000 peneroka Felda menerima ‘durian runtuh’ melalui 6 insentif utama.
Najib, yang juga menteri kewangan berkata, insentif tersebut termasuk bayaran insentif khas peneroka bernilai RM5,000 yang diumumkan pada 23 Julai lepas dan pengembalian wang SES oleh peneroka getah yang membuat tanaman semula kelapa sawit dari tahun 2010 hingga 2016.
Kumpulan Wang Perusahaan Getah (Penanaman Semula) atau biasanya disebut tabung wang SES telah ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Ordinan Kumpulan Wang Perusahaan Getah (Penanaman Semula) 1952.
Kata Najib, insentif tersebut akan diperoleh 8,925 peneroka Felda dengan peruntukan RM43 juta.
Kutipan SES pada kadar 9.92 sen sekilogram getah yang dieksport dimasukkan ke dalam tabung wang SES dan digunakan bagi membiayai program tanam semula bagi sektor pekebun kecil, pemulangan wang SES kepada sektor estet dan kegunaan lain yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
Najib turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM164 juta bagi membina 5,000 unit Rumah Generasi Kedua Felda dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Mengulas lanjut, Mazlan berkata ANAK juga menggesa kerajaan menjelaskan sama ada 5,000 unit rumah Generasi Baru Felda dengan kos RM164 juta diumumkan semalam itu untuk projek yang baharu atau lama.
Beliau juga menyatakan kebimbangan wang bayaran bantuan tanam semula (SES) dimanipulasi di Dewan Rakyat.
Katanya, Anak masih ingat ketika kempen Pilihan Raya Kecil Kerdau pada 2011, perdana menteri berjanji mahu membantu 7,800 peneroka getah di 28 Felda seluruh negara.
“Kini, komitmen kerajaan memulangkan wang SES ini kepada 8,925 peneroka dengan peruntukan RM43 juta. Realitinya para peneroka getah ini sudah terlalu letih berulang alik ke pejabat Risda bagi menuntut hak mereka.
“Jika pun mereka dapat, adakah RISDA membayarnya terus kepada peneroka, atau melalui Felda yang penuh karenah birokrasi,” soal beliau.
Mazlan berkata seharusnya, pembentangan Bajet 2018 dimanfaatkan bagi menerangkan secara terperinci Pelan Pemulihan Felda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan