Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Kerajaan memaklumkan perbelanjaan rasmi Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat pada September lalu
berdasarkan kadar yang ditetapkan dari semasa ke semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said
berkata perbelanjaan selama lapan hari itu tertakluk kepada Akta Ahli
Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237) Kemudahan Elaun dan Keistimewaan bagi
perdana menteri.
"Perbelanjaan tersebut adalah meliputi perbelanjaan penerbangan, pengangkutan, elaun makan, dobi, telefon dan lain-lain.
"Perbelanjaan perdana menteri dan ahli rombongan adalah mengikut kadar
yang ditetapkan dari semasa ke semasa," katanya dalam jawapan lisan di
Dewan Rakyat.
Azalina berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen
Seremban, Anthony Loke (DAP) yang meminta butiran terperinci jumlah kos
penginapan dan jumlah bilik yang ditempah mengikut pecahan kategori
berlainan di Trump International Hotel, Washington D.C oleh delegasi
perdana menteri semasa lawatan rasmi ke AS pada 9 hingga 16 September
lalu.
Bagaimanapun jawapan dari Azalina itu masih dipertikai Anthony dengan
mempersoal mengapa kerajaan menyembunyikan jumlah sebenar yang
dibelanjakan sepanjang lawatan itu.
Ahli parlimen daripada DAP itu mendakwa perkara itu sengaja dilakukan
kerajaan untuk mengelakkan kemarahan rakyat, jika mereka mengetahui
jumlah sebenar.
"Sekali lagi menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak faham soalan dan
tidak mahu menjawab soalan itu secara spesifik mengenai lawatan rasmi
yang mepibatkan perdana menteri.
“Adakah kos terlalu tinggi yang tidak dapat dijustifikasikan atau
perbelanjaan untuk penginapan itu terlalu mewah yang akan menimbulkan
kemarahan rakyat?," soal Anthony.
Kunjungan perdana menteri ke Amerika Syarikat pada September lalu atas
undangan Presiden Donald Trump bersempena sambutan ulang tahun ke-60
terjalinnya hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan