HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Oktober 2017

Anggota RELA dipukul 'Datuk Seri' dapat sijil kepujian

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang mendakwa dipukul seorang 'Datuk Seri' di sebuah tokong di Jalan Ampang, Jumaat lepas akan menerima sijil kepujian kerana bersikap profesional ketika menjalankan tugas.
 
Menurut Ketua Pengarah RELA Zulkifli Abidin, sikap sabar ketiga-tiga anggota itu yang tidak mencetuskan tindak balas walaupun diugut dan dikasari wajar dipuji serta dijadikan teladan oleh anggota lain RELA.
 
"Bagi menghargai komitmen kepada tugas, mereka akan menerima sijil kepujian hari ini yang disampaikan oleh saya sendiri," katanya dalam kenyataan.
 
Zulkifli berkata sikap mereka membuktikan anggota RELA bertugas dengan mempraktikkan nilai-nilai murni dan mengelak konfrontasi dengan orang awam.
 
Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi Jumaat lalu, Melvin Cheong Mun Khai, 19, Lee Weng Poh, 27, dan Leong Jiun Jie, 21, cedera di kepala, mata dan perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang lelaki bergelar 'Datuk Seri' itu.
 
Kejadian dikatakan bermula apabila anggota RELA itu meminta lelaki terbabit mengalihkan kenderaan Toyota Vellfire miliknya yang mengganggu lalu-lintas, namun dia enggan berbuat demikian.
 
Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata suspek berusia 29 tahun itu telah dikenal pasti dan diminta tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.
 
 

Tiada ulasan: