MALAYSIAKINI
GLOBAL | Banduan yang disabitkan kesalahan kerana membuat senjata api di 142 penjara dan pusat tahanan di seluruh Thailand kini mendapat perhatian 'istimewa'.
Ia ekoran cadangan perdana menteri negara itu Prayut Chan-o-cha untuk memanfaatkan bakat yang ada pada mereka.
Mengikut cadangan Prayut banduan terbabit akan diberi latihan kemahiran semasa di penjara dan apabila selesai menjalani hukuman, mereka diambil bekerja dengan kilang membuat senjata tentera.,
Buat masa ini, lapor Bangkok Post, Prayut sudah mengarahkan Jabatan Penjara mengumpul data berkaitan banduan yang dihukum atas kesalahan membuat senjata api secara haram.
Jika memiliki keperluan yang ditetapkan banduan terbabit akan dihantar ke kilang senjata api tentera, kata jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Kongcheep Tantravanich.
Setakat ini katanya cadangan yang dikemukakan Prayut semasa mesyuarat Majlis Pertahanan Kebangsaan sudah diterima.
Berdasarkan pelan dikemukakan Prayut, Jabatan Logistik Tentera Diraja Thailand ditugaskan untuk melatih banduan terbabit sebelum mereka diserapkan ke Institut Teknologi Pertahanan atau Pusat Tenaga dan Industri Pertahanan Negara.
Mengulas mengenai kebimbangan terhadap aspek keselamatan apabila bekas banduan diambil bekerja, Kongcheep menjelaskan, ia tidak wajar disalahertikan.
Katanya masyarakat tidak wajar melihat usaha itu dari sisi negatif.
"Dulu mereka membuat senjata api diam-diam, dengan berahsia tapi nanti mereka melakukannya dengan cara yang betul," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan