HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Oktober 2017

Bajet '18 pengakuan tak langsung kegagalan kerajaan

MALAYSIAKINI
 
Bajet 2018 memperlihatkan peruntukan bagi perbelanjaan operasi meningkat kepada RM234.3 bilion daripada RM214.8 bilion pada 2017, iaitu penambahan perbelanjaan sebanyak 9 peratus.

Ini setara dengan jangkaan peningkatan hasil negara pada 2018 yang dianggarkan meningkat 9 peratus daripada RM219.7 bilion pada 2017 kepada RM239.9 bilion pada 2018.

Ini menyebabkan negara tidak berupaya menambah peruntukan pembangunan dan ia kekal pada kadar RM46 bilion.

Sekiranya semua anggaran hasil negara dari 2018 sebanyak RM239.9 bilion digunakan untuk membiayai kos perbelanjaan operasi sebanyak RM234.3 bilion, ini bermakna 88 peratus kos pembangunan (RM40.4 bilion) perlu ditampung melalui pinjaman.

Dengan peruntukan hanya 16 peratus untuk pembangunan, maka hasrat mencapai status negara maju yang digaris dalam Wawasan 2020 akan hanya menjadi angan-angan yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

Dengan komitmen kos operasi setinggi ini, jika BN menang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, kadar GST dijangka akan terpaksa dinaikkan sekiranya negara memerlukan dana untuk pembangunan.

Peruntukan BR1M kekal

Bajet 2017 yang bertemakan "Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh" nampaknya gagal apabila jumlah BR1M yang diperuntukan kekal pada kadar yang sama.

Ini bermakna jumlah rakyat yang masih memerlukan bantuan kekal sama, dan cara pengurusan BN tidak berjaya mensejahterakan rakyat.


Sekiranya negara semakin makmur, sepatutnya jumlah keluarga atau individu yang layak menerima BR1M akan berkurang kerana pendapatan mereka bertambah.

Pengekalan peruntukan BR1M menandakan kegagalan kerajaan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah.

Pengurangan cukai berpendapatan individu pemastautin untuk 2.3 juta pembayar cukai terutamanya bagi golongan M40 atau lebih tepat pendapatan isi rumah di bawah RM9 ribu sebulan adalah pengakuan tidak rasmi kerajaan bahawa polisi ekonomi kini bukan sahaja menyempitkan kewangan golongan berpendapatan rendah malah kini ia menyebabkan golongan pertengahan juga bergelut dengan kenaikan kos kehidupan.

Golongan pertengahan ini terpaksa dibantu agar mereka boleh meningkatkan pendapatan boleh guna melalui pengurangan cukai ini.

Diskaun bayaran balik PTPTN dilanjutkan

PAS menyambut baik tawaran ini, bahkan ianya satu pengakuan tidak rasmi kerajaan bahawa ramai graduan yang tidak berkemampuan untuk menjelaskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Apakah ia kerana sikap atau pun sebenarnya disebabkan kurangnya peluang pekerjaan untuk graduan, atau kenaikan kos sara hidup yang menyebabkan mereka tidak mempunyai lebihan duit untuk melakukan pembayaran balik semula PTPTN?

Kerajaan juga perlu meneroka sumber baru bagi menjana pendapatan negara. Bajet kali ini masih terikat dengan sumber tradisi.

Penerokaan kepada cukai ke atas simpanan syarikat dan koperat (taxation on deposit), cukai perdagangan keuntungan saham di Bursa Malaysia (tax on share trading gain) adalah seperti dikemukakan PAS dalam Dokumen Hijau serta kawalan kos melalui strategi mensifarkan ketirisan, rasuah dan pembaziran. Ini termasuk menyemak kembali agensi yang bertindan tugas dan fungsi.

Penghapusan tol

Tindakan menghapuskan tol di empat lokasi adalah tindakan yang wajar, namun beberapa tol yang terlalu lama seperti tol Gombak dan Karak juga perlu dihapuskan.

Seperti diumumkan, bajet kali ini ialah tawaran kerajaan bagi menghadapi PRU ke-14. PAS khuatir ianya hanyalah umpan yang akan menambah bebanan rakyat sekiranya BN terus kekal memerintah.

Insya-Allah semua anggota parlimen PAS akan mengambil bahagian secara aktif dalam membahas bajet ini agar ia benar-benar memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN ialah timbalan presiden PAS.

Tiada ulasan: