HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Oktober 2017

'Penutupan plaza tol nak lawan pengaruh Dr M dan Muhyiddin'

MALAYSIAKINI
 


Keputusan Putrajaya untuk penutupan plaza tol di Kedah dan Selangor mungkin ada kaitan dengan hakikat bahawa ia merupakan negeri yang penting kepada kepimpinan tertinggi BERSATU, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Dia batalkan di Johor sebab orang Johor dah bangkit nak sokong (presiden BERSATU Tan Sri) Muhyidin (Yassin).

"Orang Kedah bangkit sokong (Pengerusi BERSATU Tun) Dr Mahathir (Mohamad)," kata Azmin kepada pemberita selepas satu majlis di Shah Alam hari ini.

Mahathir, yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun, berasal dari Kedah, sementara Muhyiddin pernah menjadi menteri besar Johor.

Kedua-duanya adalah bekas pemimpin Umno yang mahu menumbangkan parti itu melalui BERSATU dan Pakatan Harapan.

Semalam, dalam ucapan Bajet 2018 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan bersetuju untuk memansuhkan kutipan tol di Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau, Selangor mulai 1 Januari 2018.

Beliau berkata kerajaan juga akan memansuhkan kutipan tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan tol Eastern Dispersal Link (EDL) di Johor.

Sementara itu, Azmin berkata Najib "tiada pilihan" tetapi tunduk kepada tekanan rakyat supaya menutup dua plaza tol di sepanjang Lebuhraya Persekutuan.

"Sudah sekian lama kita berjuang untuk memohon supaya kerajaan persekutuan membatalkan konsesi yang terlalu lama.

"Dan sekarang ni pun konsesinya dah nak habis dah. Janganlah tipu rakyat seolah-olah itu inisiatif dia nak memikir masalah rakyat," katanya.

Kutipan tol untuk Lebuhraya Persekutuan sepatutnya berakhir akhir tahun depan, tetapi Putrajaya menyambung perjanjian konsesi hingga 2038 pada tahun 2015.

Azmin berkata pendirian Pakatan Harapan adalah semua tol dimansuhkan.

Tiada ulasan: