KUALA LUMPUR: Sebuah projek pembangunan di Kuala Lumpur mungkin menjadi
punca banjir kilat di ibu kota semalam yang mengganggu aliran trafik di
beberapa lebuh raya.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku
Jaafar berkata, pemaju tidak mengambil kira penyediaan kolam tadahan dan
perangkap sampah bagi memastikan hanya air mengalir ke dalam sungai.
Beliau justeru berharap Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal
pasti jika terdapat kesalahan berlaku bawah Laporan Penilaian Kesan Alam
Sekitar (EIA).
“Mana-mana pembangunan yang ada sensitiviti perkara-perkara yang saya
sebutkan tadi perlu ada EIA,” katanya yang dipetik Malaysiakini.
Bagaimanapun, katanya, projek yang dilulus sebelum Ogos 2015 adalah bebas daripada EIA kerana ia belum diperkenalkan.
Hujan lebat sejak awal petang semalam di beberapa kawasan di Lembah Klang mengakibatkan banjir kilat.
Antara laluan yang dilapor terjejas ialah Lebuh Raya Persekutuan
berhampiran Bangsar South atau Kerinchi, Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2
berdekatan Bukit Jalil dan Lebuh Raya LEKAS di susur keluar Kantan
Permai Kajang.
Mengulas insiden semalam, Wan Junaidi berkata, lumpur dan sampah sarap
mengalir ke dalam longkang kerana tapak pembangunan berdekatan dengan
jalan raya.
“Bila ia masuk ke dalam longkang ia menyumbatkan pembetung, jadi
pembetung tersebut tidak mempunyai kapasiti lagi untuk mengalirkan air
ke sungai.
“Jadi dengan sendirinya air terus melimpah ke jalan berdekatan,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan