HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Oktober 2017

Pegangan saham minoriti, Selangor tak boleh mansuh kutipan tol

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa dalam memansuhkan kutipan tol di beberapa lebuh raya di Selangor dalam Bajet 2018 yang akan diumumkan minggu depan.
 
Ini kerana menurut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kerajaan negeri hanya memegang saham minoriti dalam konsesi lebuhraya negeri dan dasar sebegitu hanya boleh diputuskan oleh kerajaan persekutuan.
 
Ujar Azmin, apa yang boleh dilakukan kerajaan negeri adalah membangkit isu seperti mengurangkan kadar kutipan tol agar syarikat-syarikat konsesi lebuh raya tidak mengaut keuntungan yang terlalu besar.
 
"Siapa hendak mendengar kita? Kita minoriti, tetapi kita telah bawa suara-suara sebegini supaya syarikat berkenaan tidak membebankan rakyat dengan kadar tol yang tinggi, penyelenggaraan jalan juga dibuat dengan kadar yang ditetapkan. 
 
"Akhirnya Lembaga Pengarah (konsesi lebuh raya) yang putuskan. Namun dalam mana-mana kes, pemegang saham minoriti tidak dipedulikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Memancing Shah Alam dan Pasar Bunga Shah Alam Tahun 2017 di Taman Tasik Shah Alam, hari ini.
 
Kerajaan negeri mempunyai 30 peratus saham dalam Lebuhraya Kesas melalui PKNS manakala 20 peratus dalam Lebuhraya Sprint serta Lebuhraya Damansara-Pucong (LDP) melalui Kumpulan Perangsang.
 
Azmin terdahulu diajukan kemungkinan langkah kerajaan negeri mengumumkan pemansuhan kutipan tol di negeri itu, sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Bajet 2018, semalam.
 
Mulai 1 Januari 2018, kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga di Shah Alam dan Sungai Rasau di Klang akan dimansuhkan, begitu juga di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Johor.
 
Azmin juga ditanya apakah pemansuhan kutipan tol di Selangor itu sebagai strategi baru Barisan Nasional (BN) untuk mengambil semula negeri itu daripada pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
 
"Hendak ambil buat apa? Tidak payah. Negeri yang mereka ada pun jaga elok-elok. Kerajaan persekutuan bukan hanya batal di Selangor, tetapi di Johor juga kerana rakyat kini sudah bangkit kerana menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru nak batal. Orang Kedah bangkit sokong Tun Dr Mahathir Mohamad, baru hendak batal. Selama hari ini?," soal ADUN Bukit Antarabangsa itu.
 
 

Tiada ulasan: