PETALING JAYA: Kehadiran tetamu tidak diundang di salah satu gerai di
medan selera sebuah pusat beli-belah di sini mengakibatkan pengusaha
premis itu terpaksa menanggung kerugian apabila operasinya dihentikan
serta-merta pada petang Sabtu.
Kurang 30 minit selepas kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 3.45
petang itu, pekerja di gerai itu mula memunggah semua makanan untuk
hidangan Yong Tau Foo selepas diarahkan pihak pengurusan medan selera
itu.
Tindakan proaktif itu diambil sebaik pekerja di gerai itu memaklumkan
mengenai kehadiran seekor tikus yang berkeliaran di rak makanan premis
berkenaan.
Menurut Mstar Online, pihak pengurusan Food Republic di pusat
beli-belah One Utama ketika dihubungi memberitahu, tindakan sementara
itu diambil bagi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan dipatuhi
pemilik gerai.
"Semua makanan yang terdapat di gerai terbabit sudah dibuang dan
setiap permukaan termasuk peralatan dan perkakas dapur dicuci serta
dinyahjangkit (disinfected).
"Barangan yang diletakkan di atas bekas pameran adalah 'model makanan
akrilik' yang bukan untuk dimakan atau dijual," jelasnya mengenai
operasi gerai pertama di laluan masuk medan selera itu.
Susulan kejadian itu juga, menurut pihak pengurusan medan selera itu,
syarikat yang menjalankan perkhidmatan pembersihan bagi Food Republic
akan menjalankan kerja-kerja pembersihan intensif ke atas semua gerai
jualan yang terdapat di medan selera tersebut.
Difahamkan, kerja-kerja penghapusan haiwan perosak yang juga dikenali
sebagai 'cik siti' itu dilakukan setiap dua minggu sebagai mematuhi
piawaian prosedur operasi (SOP) yang diamalkan Food Republic, manakala
rutin pembersihan biasa pula dilakukan pada setiap hari.
Terdahulu, seorang pelanggan yang mendakwa berada di lokasi kejadian
telah mengirimkan beberapa gambar berhubung insiden itu kepada sebuah
portal tersebut.
"Pihak kami ingin memohon maaf di atas ketidakselesaan yang berlaku dan
berharap agar kejadian ini tidak berulang pada masa akan datang,"
katanya.
Insiden yang didakwa berlaku kira-kira pukul 3.45 petang itu mengejutkan pengunjung yang sedang menikmati hidangan petang.
Kejadian itu didakwa mula disedari oleh dua pekerja di gerai terbabit
yang menjerit setelah melihat tikus tersebut berada di bahagian
penyediaan makanan.
Pelanggan tersebut berkata, dia ingin memaklumkan mengenai insiden itu
kerana khuatir ia menjejaskan tahap kebersihan makanan di gerai
berkenaan.
Melalui gambar yang dikirimkan, kelihatan seekor tikus berada di atas
makanan jenis yong tau fu yang disediakan sebelum ia bergerak berulang
kali di permukaan makanan yang disediakan gerai itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan