HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Oktober 2017

Plus: Tol dimansuh 20 tahun sebelum tamat tempoh

MALAYSIAKINI


Syarikat pengendali lebuhraya Plus Malaysia Bhd hari ini menjelaskan perjanjian konsesi plaza tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor dijadualkan berakhir pada hujung 31 Disember 2038.
Ia berdasarkan perjanjian konsesi yang diulang kaji pada 2011.

"Pengumuman yang dibuat oleh perdana menteri bermaksud pemansuhan kutipan tol bermula 1 Januari 2018 di plaza tol Batu Tiga dan Sungai Rasau yang dilakukan 20 tahun sebelum tempoh tamat yang dijadualkan," kata syarikat konsesi tol itu dalam kenyataan hari ini.

"Perjanjian konsesi 2011 distruktur semula berikutan penswastaan Plus pada tahun yang sama menyaksikan kutipan tol diselaraskan di kesemua plaza tol di bawah bidang kuasa Plus, termasuklah Batu Tiga dan Sungai Rasau."

Plus menambah tiada kenaikan tol dilaksanakan oleh kerajaan dan Plus di kesemua lebuh rayanya sejak 2005.

Plus mengeluarkan kenyataan menjelaskan susulan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR untuk Batu Tiga Rodziah Ismail (gambar) yang berkata perjanjian konsesi untuk kedua-dua plaza tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau sepatutnya berakhir pada 2018.



Rodziah dalam catatan Facebook malam tadi berkata Perdana menteri telah mengelirukan rakyat dengan kononnya memansuhkan kutipan tol di Batu Tiga walaupun perjanjian konsesi sepatutnya berakhir pada 2018.

Dalam ucapan Bajet 2018 semalam, Najib mengumumkan empat tol di Selangor, Kedah dan Johor akan dimansuhkan bermula 1 Januari 2018.

Selain plaza tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau, kutipan tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan tol Eastern Dispersal Link (EDL) di Johor turut dimansuhkan.

Manakala maklum persoalan pampasan untuk Plus dengan pemansuhan kutipan tol di Batu Tiga, Sungai Rasau dan Bukit Kayu Hitam di Kedah, Plus berkata ia akan membuat pengumuman yang perlu setelah menerima butiran lanjut daripada kerajaan.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata semalam bahawa pihak kerajaan tidak akan memberi pampasan dalam bentuk tunai kepada Plus bagi pemansuhan tol tersebut.

Sebaliknya, kata Johari pihak kerajaan akan melihat untuk melanjutkan perjanjian konsesi di plaza-plaza tol lain yang dioperasikan Plus.

Tiada ulasan: