KUALA LUMPUR: Ketegangan antara Pemuda Umno dan Pemuda MCA punca kepada
lebih seratus ahli politik dan aktivis ditahan di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menerusi Ops Lalang, pada 1987.
"Itulah sebab sebenar penahanan," kata Menteri Pendidikan dan Naib Presiden Umno ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata demikian ketika memberi keterangan dalam sesi pendengaran
saman fitnah Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah terhadap Ketua Umno
bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, di Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, ketegangan antara Pemuda Umno dan Pemuda MCA membawa
kepada penahanan sejumlah 106 ahli politik dan aktivis, termasuk suami
Maria iaitu allayarham Yunos Lebai Ali.
Anwar dalam keterangannya mendakwa beliau membuat rayuan kepada Perdana
Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga menteri dalam
negeri, agar melepaskan mereka yang tidak terlibat dengan perbalahan dua
sayap pemuda itu.
Beliau berkata bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin turut ada
ketika beliau bertemu Mahathir di kediaman rasminya, Sri Perdana.
"Namun, Mahathir berkata serahkan kepada polis dan Cawangan Khas (special branch) untuk menangani perkara itu," katanya lagi.
Laporan menyatakan timbulnya isu berkaitan kaum dan agama pada waktu
itu, termasuk keputusan Kementerian Pendidikan untuk melantik sendiri
seratus guru besar dan guru penolong kanan untuk Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina (SJKC).
Ia menyebabkan pemimpin masyarakat Cina mengadakan perhimpunan yang
dihadiri 2,000 orang di Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus
Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong). Turut hadir adalah timbalan presiden
MCA ketika itu, Tan Sri Lee Kim Sai dan pemimpin DAP Lim Kit Siang.
Umno kemudiannya turut membuat perhimpunan di Kampung Baru.
Peguam Jamal, Mohd Nasser Yusof, bertanya kepada Anwar berhubung sebab di sebalik penahanan suami Maria.
Maria memfailkan saman terhadap Jamal ekoran dakwaannya yang badan
pemantau pilihan raya itu mempunyai kaitan dengan pengganas Islamic
State.
Anwar turut ditanya tentang pengalamannya sebagai pemimpin pelajar di
Universiti Malaya, bersama-sama Yunos dan aktivis Hishamuddin Rais.
Anwar berkata mereka menyertai pelbagai demonstrasi termasuk ketika
membantah perang di Vietnam, penjajahan Palestin dan sokongan Amerika
Syarikat terhadap Israel, serta demonstrasi Baling pada 1974.
Katanya, ketika demonstrasi di luar kedutaan Amerika Syarikat di Kuala
Lumpur, para pemimpin pelajar berdialog dengan menteri dalam negeri
ketika itu, Tun Ghazali Shafie.
Tidak seperti sekarang, pemimpin politik ketika itu sentiasa bersedia untuk bertemu pelajar, katanya.
Anwar juga menafikan cadangan Nasser yang mengatakan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) adalah organisasi pengganas.
"Ketika saya menjadi menteri pada 1983, saya turut mengundang pemimpin PLO ke UiTM," katanya.
Suami Maria pernah menjadi pengawal peribadi pemimpin PLO, Yasser Arafat.
Maria diwakili peguam N Surendran dan Latheefa Koya. Perbicaraan bersambung pada 5 Mac ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan