KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya apabila dibuka tinggi pagi Khamis berbanding dolar US, kata peniaga.
Dolar US susut kepada paras terendah dalam tempoh tiga tahun berbanding
mata wang lain ekoran ulasan oleh setiausaha perbendaharaan Amerika
Syarikat Steven Mnuchin bahawa beliau menyambut baik penyusutan mata
wang negara itu memandangkan kedudukan itu baik untuk perdagangan serta
peluang lain untuk negara berkenaan.
Pada 9.00 pagi, ringgit berada pada paras 3.9010/9040 berbanding dolar daripada 3.9110/9140 pada penutupan Rabu.
Ketua Pedagang Oanda Corp bagi Asia Pasifik Stephen Innes berkata
kedudukan harga semalaman itu menunjukkan pergolakan dolar US itu
sendiri berbanding kedudukan pasaran pra-Mesyuarat Jawatankuasa Dasar
Monetari Bank Negara Malaysia.
"Bagaimanapun mata wang tempatan disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan penyusutan dolar.
"Sementara itu, hari ini merupakan penentuan ringgit berdasarkan keputusan mesyuarat BNM,” katanya.
Beliau berkata jika BNM memberi isyarat satu lagi kenaikan kadar untuk
2018, tindakan itu akan mencetuskan situasi menguji penurunan
serta-merta ringgit kepada 3.70, namun jika BNM membuat satu kenaikan
tunggal bagi 2018, pasaran akan menguji paras 3.80.
Jika BNM mengambil tindakan memihak kepada kadar faedah rendah, yang
mencadangkan tiada kenaikan kadar, ringgit boleh melepasi 4.00, kata
Innes.
Data Indeks Harga Pengguna (IHP) semalam yang mencatatkan 3.5 peratus
bagi Disember dan 3.7 peratus bagi setahun penuh 2017, berada dalam
sasaran inflasi 3-4 peratus bank itu.
Innes berkata BNM masih dijangkakan menaikkan kadar faedah hari ini
memandangkan harga minyak yang lebih kukuh akan diterjemahkan sebagai
inflasi tinggi pada 2018.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali yen Jepun.
Ia rendah berbanding euro kepada 4.8353/8406 daripada 4.8242/8295 pada
Rabu dan susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9815/9840 daripada
2.9803/9832.
Ringgit susut berbanding pound British kepada 5.5484/5538 daripada
5.5110/5168 tetapi meningkat berbanding yen kepada 3.5648/5686 daripada
3.5658/5695
Tiada ulasan:
Catat Ulasan