Oleh Shuhaniza Said
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan mengikut
persetujuan kesemua empat parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH)
bersabit soal penamaan dirinya sebagai calon perdana menteri gabungan
itu.
Kata beliau, soal dicalonkan sebagai 'perdana menteri sementara' atau
sebagainya bukan satu perkara besar memandangkan dirinya sudah berusia.
"Saya berdiri di atas keputusan kesemua empat parti.
"Saya kini berusia 92 tahun, tahun ini menjangkau 93 tahun. Ketara
sekali saya tak akan jadi apa jua perdana menteri sehingga saya berusia
100 tahun," katanya dalam satu sidang media di Yayasan Kepimpinan
Perdana di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya laporan media sebelum ini, yang
mengatakan tiga daripada empat parti komponen PH iaitu DAP, Amanah dan
PPBM bersetuju untuk mencalonkannya sebagai perdana menteri jika
gabungan itu berjaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.
Dilaporkan keputusan itu dicapai dalam pemukiman PH selama dua hari awal Disember lalu.
Bagaimanapun PKR tidak memberi sebarang kata putus atas cadangan itu
kerana dimaklumkan ingin mendapat 'restu' dari Ketua Umum mereka, Datuk
Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu.
Ditanya sama ada beliau menjangkakan sebarang 'masalah' dengan PKR
bersabit pencalonan itu, Dr Mahathir berkata beliau tidak dimaklumkan
mengenainya.
"Saya tak tahu, mereka tak beritahu apa-apa," ujarnya ringkas.
Malah laporan sebuah portal menyebut PKR lebih cenderung untuk
menggunakan istilah 'perdana menteri sementara' mengenai pencalonan Dr
Mahathir ke jawatan berkenaan.
Ditanya mengenai penggunaan istilah 'sementara' atau interim itu, Pengerusi PPBM itu berkata ia terpulang kepada PH.
"Itu terpulang kepada mereka, kita kumpulan bebas dan boleh gunakan apa jua perkataan pun yang kita mahu," katanya.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata soal sama ada calon perdana
menteri akan diumumkan pada Konvensyen PH, Ahad ini, hanya akan
diketahui esok ketika PH akan mengadakan mesyuarat Majlis Presiden PH.
"Saya tak boleh kata kerana kami belum putuskannya, mungkin esok, kita
akan adakan mesyuarat PH, mungkin kalau mereka mahu, kita akan
nyatakannya sama ada nak umum atau tidak (dalam Konvensyen PH). Esok
kita tahu," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan