MARANG: "Dia orang tua dah, biar dia insaf sendirilah".
Demikian reaksi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, terhadap
tindakan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melabel beliau
sebagai kafir dan pengkhianat kerana bekerjasama dengan Umno.
Sambil mengakui tindakan Dr Mahathir melabel beliau kafir dan
pengkhianat itu sebagai melampau, Hadi berkata, bekas Perdana Menteri
itu terdesak, apabila menjadikan serangan peribadi sebagai taktik
politiknya untuk menjatuhkan pemimpin lain.
"Memang melampaulah (melabel kafir dan pengkhianat). Tetapi biar dia insaf sendirilah. Dia orang tua dah.
"Dia macam orang terdesak yang sudah rapat ke dinding. Apabila rapat ke
dinding, dia tak boleh nak pergi. Dia (terpaksa) rempuh dinding itu.
"Jadi tak pasal-pasal pecah kepala sendiri. Jangan pecahkan kepala
sendiri," katanya ketika ditemui selepas pelancaran markas besar PAS
bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 N20 Pengkalan Berangan di sini, malam tadi.
Memetik BH Online, ahli Parlimen Marang itu menasihatkan Dr Mahathir supaya bertaubat kerana melabel beliau sebegitu.
"Dia kena duduk sorang-sorang (bersendirian) dan fikirkan semula (apa
yang dia cakap). Fikir dan kena banyak membaca. Jangan baca buku
perubatan saja, buku Islam pun kena baca.
"Saya biarkan dia insaf sendiri. Mudah-mudahan dia insaf. Antara saya
dan dia saya sudah maafkan. Antara dia dengan tuhan, dia kena
bertaubat," katanya.
Semalam, Dr Mahathir melabel Hadi sebagai kafir dan pengkhianat kerana bekerjasama dengan Umno.
Beliau juga mendakwa, Hadi hanya menggunakan Islam kerana pernah mendakwa kerajaan sebagai kafir dan wajar ditentang.
Terdahulu dalam ucapannya, Hadi berkata, PAS sudah lama bersabar dengan
Dr Mahathir, terutama sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, apabila
kerap menentang usaha parti itu mengukuhkan landasan pentadbiran Islam.
"Apabila kita (kerajaan PAS) lulus undang-undang Islam di Kelantan, dia
beri amaran sekiranya kita laksanakan undang-undang Islam, kerajaan
Pusat akan bertindak.
"Kalau dulu zaman Dr Mahathir, dia hina Islam. Tutup aurat pun dia kata
bukan agama suruh, tetapi adat saja. Dia tak nak kita laksanakan hukum
Islam," katanya.
Berbanding dengan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
katanya, hasil politik matang dan sejahtera, PAS dan Umno mampu bertemu
dan bersetuju untuk membolehkan pelaksanaan beberapa hukum Islam.
"Perdana Menteri sekarang, kita boleh berbincang, kerana kita perlu
kepada perubahan. Kalau zaman Mahathir, dia tak mahu fikir kita nak
laksanakan Islam," katanya.
Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai tindakan bekas Naib Presiden
PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, keluar
daripada PAS Ahad lalu, Hadi berkata: "Dia sudah lama keluar (PAS).
Ibarat orang sudah mati lama, tetapi baru nak tanam."
Hadi yang juga ADUN Rhu Rendang ketika diminta mengulas mengenai
tuduhan Dr Mahathir bahawa beliau adalah punca Tragedi Memali, berkata
beliau sudah menulis buku mengenai tragedi itu dan sudah dicetak
beberapa kali.
"Saya tak mahu ulang balik. Rujuk buku itu cukup," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan