SHAH ALAM: Di sebalik suara rakyat mengenai bebanan kos sara hidup,
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata masih ramai yang tidak
menyedari kerajaan meneruskan 'indirect subsidi' bagi meringankan beban
terutamanya dari segi kesihatan dan pendidikan.
Najib berkata rakyat masih boleh menikmati bayaran serendah RM1 untuk
mendapatkan perkhidmatan kesihatan manakala pendidikan di peringkat
tadika, sekolah rendah dan menengah secara percuma ditanggung kerajaan.
Ujarnya, kerajaan turut menampung 90 peratus perbelanjaan untuk pembelajaran di pusat pengajian awam.
"Ini adalah dikatakan 'indirect subsidi' tetapi ramai orang tidak
sedar," katanya dalam program wawancara 'Bicara 4 Mata' yang disiarkan
portal theRakyat, RTM dan TV3 bersempena pelancaran portal itu malam
tadi.
Portal theRakyat merupakan portal rasmi Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Perdana Menteri ditemu ramah oleh pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi.
"Di UTC (Pusat Transformasi Bandar), ada Klinik Rakyat 1Malaysia, ada
orang betulkan gigi. Bayarannya RM1. Kalau dia pergi swasta dia kena
beratus ringgit," kata Najib.
"Ada seorang itu, dia menghidap penyakit diabetes...sebeban ubatnya.
Saya tanya doktor berapa ubat, doktor kata percuma sebab rawatan dan
jumpa doktor di klinik kerajaan bayar RM1 sahaja. Ubat-ubatan percuma,
jadi tengok banyak subsidi yang kita beri kepada rakyat," katanya.
Bukan sekadar kesihatan dan pendidikan sahaja, kerajaan juga, kata
Najib, meringankan bebanan kos sara hidup rakyat menerusi subsidi dalam
memastikan rakyat miskin turut boleh memiliki rumah.
Najib menjelaskan pentadbirannya mengurangkan subsidi pukal bagi
barangan, contohnya subsidi minyak, kerana ia lebih menguntungkan
golongan berkereta besar berbanding golongan yang menggunakan motosikal
kecil.
Najib berkata ia digantikan dengan subsidi bersasar, contohnya, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"Bila buat BR1M kita lebih 'targeted' (bersasar), lebih fokus kepada
golongan yang memerlukan. Jadi kita hapuskan subsidi minyak, hampir
tidak ada.
"Kita katakan rasionalisasi subsidi dan hasil yang kita jimat, kita
pindah kepada BR1M. BR1M terus kepada orang yang memerlukan bantuan.
Jadi apa salahnya. Tidak ada salahnya," katanya apabila ditanya mengenai
tanggapan bahawa BR1M dilihat sebagai 'gula-gula' dan tidak berkesan.
Katanya, BR1M juga masih lagi dikehendaki dan diterima baik oleh
rakyat. Buktinya beliau berkata ialah apabila beliau melancarkan UTC di
Seremban baru-baru ini dan beliau telah mendapati ramai orang telah
berkunjung ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di situ untuk
menyemak sama ada nama mereka tersenarai sebagai penerima BR1M atau
tidak.
Menyentuh mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST), Perdana menteri
menjelaskan kutipan GST digunakan untuk pelbagai program untuk membantu
rakyat, seperti BR1M, bantuan kepada nelayan, pesawah padi serta
perbelanjaan kesihatan dan pendidikan.
Mengambil contoh, beliau berkata, kerajaan telah membelanjakan RM24 bilion untuk kesihatan tahun lalu.
"Kutipan kita cuma RM600 juta sahaja. Jadi perbezaan itu kita tampung melalui pendapatan GST," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan