Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak perlu
mempertikai permohonan maaf yang dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad dengan
mengaitkan ia dengan adat Melayu dan tuntutan Islam.
Perkara itu ditegaskan Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir
ketika mengulas kenyataan Hadi terhadap permohonan maaf Pengerusi PPBM
itu, Sabtu lalu.
"Kita anggap (adab) Melayu itu Islam. Yang mana baik dalam adat kita
tentunya berpunca dari Islam. Apabila beliau kata sebagai orang Melayu,
itulah yang kita buat. Jika ia tak bertentangan malah sebahagian amalan
orang Islam, maka tak perlu pertikai.
"Lainlah jika bertentangan adat Melayu apa yang diajar oleh agama, itu
menjadi masalah. Jika sama, mengapa hendak timbulkan isu?," katanya
kepada Antarapos, hari ini.
Hadi pada semalam berkata Dr Mahathir memohon maaf tetapi tidak
mengakui kesalahannya yang dilakukan sepanjang 22 tahun menjadi perdana
menteri.
Ahli Parlimen Marang itu juag mempertikai pendirian Dr Mahathir bahawa
permohonan maafnya itu dilakukan atas dasar adat Melayu, sebaliknya kata
Hadi, ia perlu dibuat berpaksikan konsep Islam.
Terdahulu Dr Mahathir, ketika berucap di pentas Mesyuarat Agung tahunan
(AGM) PPBM 30 Disember lalu, memohon maaf atas kesalahan lampaunya,
namun tidak memperincikan butirannya.
"Itu memang adat orang Melayu, jika telah menyinggung perasaan mana-mana pihak atas kenyataan atau tindakan kita.
"Kita mohon maaf secara am, umum. Tak perlulah disebut satu per satu
apa kesalahan kita, itu mengaibkan diri pula," kata Mukhriz lagi.
Pengerusi PPBM itu kerap didesak untuk memohon maaf di atas rekod
pemerintahannya yang dicalar dengan penangkapan musuh-musuh politik
termasuk pemimpin PKR dan DAP di bawah Ops Lalang.
Beliau juga dituduh bertanggungjawab di atas penahanan Ketua Umum PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 selepas memecatnya daripada
kerajaan dan Umno, selain didesak oleh penyokong pembangkang untuk akur
dan memohon maaf di atas tindakan-tindakannya sebelum ini yang mengekang
kebebasan kehakiman, hak asasi manusia serta pembaziran, pemborosan dan
politik wang semasa pemerintahannya.
PAS juga sebelum ini meminta Dr Mahathir bertanggungjawab dan meminta
maaf atas peristiwa Memali yang terjadi pada 1985 yang telah
mengorbankan 17 nyawa penduduk dan annota keselamatan.
Mengulas lanjut Mukhriz kemudiannya bertanyakan apakah Hadi sendiri
mahu meminta maaf atas Amanat Hadi yang didakwa mencetuskan tragedi
berdarah Memali.
"Jika Hadi bercakap begitu, bila pula Hadi hendak meminta maaf mengenai
Amanat Hadi yang mencetuskan polemik antara yang beragama Islam selama
ini? Sampai ke hari ini saya tak pernah dengar dia menarik balik atau
memohon maaf atas amanatnya itu. Walaupun orang yang dikafirkan ketika
itu menjadi sahabat baiknya iaitu Umno.
"Bayangkan apa perasaan orang Melayu-Islam yang mengikuti Amanat Hadi
yang solat dua imam, ada bercerai berai, hubungan antara keluarga pun
retak, kerana Amanat Hadi itu," katanya.
Sementara itu, Mukhriz turut menafikan tindakan berdiam diri golongan
mufti terhadap Amanat Hadi disebabkan campur tangan politik di dalam
pentadbiran, sebagaimana didakwa Hadi, semalam.
"Jika kita fikirkan logik di sebalik kenyataan Hadi, ia seolah-olah tak
masuk akal. Bagimana amanat yang dikeluarkan pemimpin pembangkang tak
boleh disanggah oleh ketua-ketua agama, khususnya mufti di peringkat
negeri? Walhal mufti itu berkait dengan kerajaan, bukan pembangkang.
"Jika tidak ketua-ketua kerajaan akan paksa mereka mengeluarkan fatwa
mengenai Amanat Hadi dan tentunya akan beri kesan," katanya.
Hadi berkata tindakan berdiam diri golongan agama terhadap Amanat Hadi
yang dikaitkan dengan peristiwa Memali disebabkan tiada pemisahan kuasa
legislatif, eksekutif dan kehakiman.
Respon itu menyusul selepas Dr Mahathir mempersoal mengapa tiada
kenyataan dikeluarkan oleh golongan agama atas isu kafir-mengkafir
sesiapa yang tidak menyertai PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan