GEORGE TOWN: Lebih 50 kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir selepas
hujan lebat sejak jam 11.00 malam tadi sehingga kini menyebabkan Pusat
Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Kubang Semang, Bukit Mertajam.
Sebanyak 15 kawasan di bahagian pulau negeri ini dinaiki air manakala
selebihnya membabitkan lokasi di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan
Seberang Perai Utara (SPU), dengan paras air antara 0.1m hingga 0.4m.
Ketua Polis Daerah SPT ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata sebuah
PPS dibuka di Sekolah Agama Nahdatul Islah di Kubang Semang,
menempatkan lima orang daripada sebuah keluarga.
“Keluarga itu dipindahkan ke pusat berkenaan kira-kira 8.00 pagi ini
selepas rumah di Kubang Semang dinaiki air hingga paras 0.5m. Setakat
ini, pihak polis bersama bomba dan Angkatan Pertahanan Awam sedang
membuat pemantauan di kawasan dinaiki air,” katanya.
Beliau berkata antara kawasan dinaiki air di daerah SPT ialah Taman
Mutiara, Kampung Padang Lalang, Kampung Permatang Rawa, Jalan Tembikia,
Taman Makok, Taman Cantek, Taman Siakap, Taman Usaha, Taman Amra dan
Jalan Bagan Lalang.
Nik Ros Azhan berkata puluhan rumah di kawasan terlibat turut dimasuki
air namun masih di peringkat berjaga-jaga dan jika hujan berterusan
kemungkinan penduduk yang terlibat akan dipindahkan ke pusat pemindahan
sementara.
Katanya selain itu, susur keluar ke Permatang Pauh di Lebuh Raya Utara
Selatan turut ditutup kepada lalu lintas kerana air naik hingga 0.5m dan
berbahaya kepada pengguna jalan raya dan turut menyebabkan kesesakan
teruk dari Sungai Dua ke Perai.
Seorang penduduk di Permatang Rawa, Mohd Razak Ahmad Awang, 46, berkata
sejak semalam, beliau, isteri dan 3 anaknya tidak tidur kerana bimbang
rumah dimasuki air selepas hujan lebat sejak pukul 11.00 malam di
kawasan itu.
“Rumah kami mula dimasuki air banjir sejak 3.00 pagi ini dan kira-kira
15 buah rumah di sini turut dimasuki air, nasib baik air masih di paras
betis sahaja. Tapi saya dah bersedia untuk dipindahkan jika banjir
semakin buruk,” katanya kepada Bernama.
Bagi kawasan SPU, antara tempat dinaiki air banjir ialah Mak Mandin,
Jalan Raja Uda, Butterworth, Taman Sungai Rambai, Taman Bunga Raya dan
Taman Senangin, namun tiada mangsa yang dipindahkan.
Sementara itu, di bahagian pulau sekurang-kurang 15 kawasan dinaiki air
membabitkan daerah Timur Laut antaranya Kampung Makam, Lebuh Kimberley,
Lorong Baru, Lebuh Cecil, Jalan Sungai Ujong, Jalan Magazine dan Lebuh
Cintra. Kawasan yang terjejas di daerah Barat Daya pula ialah Teluk
Kumbar, Sungai Batu dan Sungai Ara.
Jalan P Ramlee yang merupakan kawasan paling kerap dilanda banjir kilat
di Pulau Pinang turut ditutup kepada lalu lintas selepas air banjir
mencecah 0.5m, namun setakat ini tiada penduduk yang dipindahkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan