Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak sepatutnya menerima
tawaran agihan kerusi 60-40 oleh Pakatan Harapan (PH) demi manfaat
rakyat negeri itu, kata penganalisis politik, Edwin Michael.
Ujar Edwin, Warisan tidak sepatutnya melepaskan begitu sahaja 60 kerusi
Parlimen kepada PH sebaliknya parti itu sendiri yang harus mewakilkan
pemimpinnya ke dalam Dewan Rakyat.
"Warisan sendiri perlu hantar pemimpinnya ke Parlimen untuk suarakan
masalah rakyat Sabah. Pemimpin Pakatan Harapan, hanya keluar-masuk ke
Sabah dan tidak benar-benar menjiwai masalah rakyat negeri itu.
"Jika kita lihat, pada sidang Parlimen sebelum ini, adakah wakil
pembangkang begitu agresif membawa masalah rakyat Sabah untuk
dibahaskan? Jadi Warisan sebagai parti rakyat di Sabah perlu bertanding
di 60 kerusi Parlimen, bukannya PH," katanya kepada Antarapos.
Pemimpin DAP Sabah, Stephen Wong sebelum itu menawarkan formula 60-40
kepada Warisan dalam usaha mengagihkan kerusi DUN dan Parlimen antara
mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Menurut Stephen, Warisan boleh meletakkan 60 peratus calonnya di kerusi
DUN negeri itu dan selebihnya 40 peratus diberikan kepada PH.
Pun begitu, Warisan perlu memberi laluan kepada PH untuk meletakkan
calon di 60 peratus kerusi Parlimen dan parti itu hanya bertanding 40
peratus kerusi berkenaan.
Mengulas tawaran itu, Edwin berkata PH mungkin yakin bahawa calon
daripada gagasannya lebih berkaliber berbanding pemimpin Warisan.
Pun begitu katanya, atas apa jua alasan Warisan tidak sepatutnya membiarkan PH yang didominasi DAP menguasai Sabah.
"DAP mempunyai kedudukan kukuh di Sabah dan juga Sarawak. DAP ada
kemungkinan untuk menang banyak kerusi di Sabah, khususnya. Sebab itu
DAP yang mendahului PH untuk memberi tawaran kepada Warisan.
"Warisan tidak sekuat DAP. Warisan parti baru yang tiada asas kukuh
seperti DAP di negeri itu. Tambahan pula, pemimpin Warisan, Datuk Seri
Shafie Apdal terpaling dengan dakwaan salah guna kuasa dan
penyelewengan," ujar Edwin.
Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking hari ini menyatakan ragu-ragu
dengan tawaran 60-40 PH, berikutan ia hanya disuarakan Stephen -
pemimpin tempatan Sabah.
Selepas disuarakan Stephen, barulah perkara itu disebut Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan