BANTING: Seorang lelaki cacat pendengaran dan bisu didakwa di Mahkamah
Majistret Telok Datok hari ini, atas tuduhan membunuh empat sekeluarga
di Jalan Tepi Laut, Tanjong Sepat, dekat sini bulan lalu.
Kang Chang Heng, 38, yang bekerja di sebuah kilang perabot di Kepong di
ibu negara, hanya mengangguk tanda faham sejurus pertuduhan dibacakan
jurubahasa isyarat, Samuel Chew di hadapan Majistret Mohd Isa Md Nor.
Bagaimanapun tidak pengakuan direkodkan daripada lelaki berkenaan yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Chang Heng didakwa membunuh Chia Tee Nang, 73; isterinya, Lim Mai Shak,
68, serta cucu mereka, Chia Yuan Bin, 3, dan Ryan Chia Zeng Xi, 9, di
sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjong Sepat, antara jam 4 hingga 5
pagi, 13 Disember lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.
Chang Heng turut didakwa mengikut Seksyen 324 kanun sama, mendatangkan
kecederaan kepada seorang kanak-kanak, Andrew Chia Zeng Haul, 12, yang
juga cucu kepada pasangan warga emas berkenaan di tempat dan pada waktu
sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga
tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Sementara itu, mahkamah menolak permohonan peguam, Lim Chin Huat yang
mewakili Chang Heng untuk membenarkan tertuduh dirujuk kepada pakar
psikiatrik.
Bagaimanapun, Mohd Isa menggunakan budi bicara meminta pihak pembelaan
menyerahkan dokumen sokongan yang menunjukkan tertuduh mengalami masalah
mental.
"Selalu perkara ini (permohonan) dimohon oleh pendakwaan. Saya lihat
tertuduh berkelakuan baik, tidak pelik seolah-olah tidak waras, jadi
saya tidak benarkan.
"Kalau ada dokumen menunjukkan tertuduh mengalami masalah mental dan
mempunyai sejarah (mental), saya akan mempertimbangkan sekali lagi,"
katanya dipetik BH Online.
Mohd Isa menetapkan 8 Mac untuk serahan dokumen sokongan dan sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Basri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan