HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Mei 2018

HARAPAN Bukan Miskin Duit Tapi Miskin Ahli – PAS

Ammar Sufian


Harapan miskin ahli

 
Pakatan Harapan (HARAPAN) bukan sebuah parti miskin dari segi dana, namun gabungan itu miskin ahli, kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Bukan parti ia (HARAPAN) miskin (duit) tapi ia miskin ahli, dia tak ada akar umbi,” katanya ringkas dalam sidang media di Marang hari ini.

Tuan Ibrahim diminta mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu ‘miskin’ serta tidak mempunyai sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan memasang bendera dalam kempen pilihan raya umum ke-14.

Kata bekas perdana menteri itu, keadaan itu berbeza dengan PAS yang didakwa menerima banyak derma daripada pihak tertentu.

Menurut Tuan Ibrahim, PAS memiliki anggotanya yang melakukan gerak kerja bagi memasang bendera atas usaha dan pengorbanan mereka tanpa bergantung sebarang sumber kewangan.

“Untuk makluman ahli parti PAS keluarkan duit sendiri dan beli bendera untuk bahagian atau pun cawangan.

“Sebab itu kita tak ada tempah dari China atau negara luar tetapi ahli parti kita beli dua gulung, tiga gulung dan mana yang mampu beli banyak lagi

“Malah bukan sahaja bendera tetapi dekorasi yang dibuat mengikut kreativiti dan usaha masing-masing seperti wau besar, itu betul-betul dibuat atas kecintaan anggota parti,” katanya.

Sentimen tinggi kalangan ahli

Mengulas mengenai dakwaan bahawa kehadiran banyak bendera tidak menjamin kemenangan, ini jawab Tuan Ibrahim:

“Suatu masa dulu ada yang kata (jumlah) bendera pun kalah macam mana nak menang.

“Tapi sebenarnya bagi kita ini semangat kepada penyokong dan pengundi parti dan saya rasa PAS ini ada sifat lagi kuat ditekan lagi tinggi pengorbanan.

“Dulu kita berdepan dengan BN tapi kali ini dari kedua-dua belah pihak serang kita dan ini menguatkan lagi sentimen ahli parti kita (menjadi) lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya PAS pusat, Dr Samsuri Mokhtar menempelak HARAPAN berhubung isu itu yang didakwanya bagai duduk di dalam gua.

“Apakah mereka duduk dalam gua masa pilihan raya lepas dengan tidak melihat keadaan yang ada.
“Inilah keadaan yang ada (perang bendera) dan pilihan raya lepas pun macam inilah keadaannya,” tegasnya. Mkini

Tiada ulasan: