PRU14 l Rakyat Malaysia mengundi hari ini untuk memilih kerajaan yang akan menerajui negara bagi tempoh lima tahun akan datang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Seramai 14,449,200 daripada jumlah keseluruhan 14,940,624 pemilih berdaftar yang diwartakan akan mengundi mulai 8 pagi hingga 5 petang ini.
Baki pemilih yang lain adalah pengundi tidak hadir luar negara, pengundi pos dan pengundi awal.
Seramai 2,333 calon bertanding bagi merebut 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum kali ini. Pada hari penamaan calon, Barisan Nasional (BN) menang tanpa pertandingan kerusi DUN Rantau di Negeri Sembilan.
Untuk tujuan pengundian hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan 8,253 pusat mengundi yang mempunyai 28,115 saluran mengundi.
Kos pengendalian PRU14 dianggarkan berjumlah RM500 juta.
Bagi menjalankan proses PRU14, SPR melantik 222 pegawai pengurus pilihan raya selain 259,391 petugas pilihan raya.
SPR menjangkakan keputusan PRU14 akan dapat diketahui seawal 9 malam.
Parlimen dibubarkan pada 7 April lalu bagi memberi laluan kepada PRU14 yang disifatkan pemerhati politik sebagai ‘ibu segala pilihan raya’ akan menyaksikan pertembungan utama antara BN yang ditunjangi UMNO dan pakatan pembangkang yang didominasi oleh DAP.
Menjelang hari pengundian, Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah menasihatkan para pengundi supaya keluar mengundi awal kerana keadaan cuaca hari ini diramalkan hujan, dan tidak menunggu di saat-saat akhir.
Beliau menasihati pemilih membuat semakan pengundian masing-masing seperti nama Pusat Mengundi dan saluran mengundi (dalam buku Daftar Pemilih) melalui aplikasi MySPR Semak atau laman pengundi spr.gov.my atau sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPRSEMAK No kad pengenalan dan hantar ke 15888 atau menghubungi talian 03-88927018 atau semak di barung SPR.
Mohd Hashim turut menasihatkan semua pihak khususnya calon-calon, penyokong dan pekerja parti serta pengundi supaya mematuhi undang-undang dan peraturan, tataetika dan arahan SPR dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan perjalanan proses pengundian berjalan lancar dan harmoni.
Kempen selama 11 hari menyaksikan parti-parti bertanding berusaha meraih sokongan menerusi pendekatan konvensional dan media sosial khususnya untuk pengundi muda, berumur 21 hingga 39 tahun yang berjumlah 41.3 peratus.
Bagi memastikan kelancaran proses pengundian, PDRM mengingatkan semua pengundi dan penyokong parti politik agar mengundi secara berdisiplin serta tidak mencetuskan sebarang provokasi.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah turut menasihati para pengundi agar keluar awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di pusat-pusat mengundi.
“Mengenai tahap keselamatan, pengundi tidak perlu bimbang kerana di tempat mengundi ada polis yang ditugaskan mengawal keselamatan termasuk lalu lintas,” katanya kepada Bernama semalam.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan