Pengarah JSJK Bukit Aman yang mengetuai siasatan ke
atas 1MDB berkata, polis menjalankan siasatan secara profesional kerana
premis itu ialah kediaman bekas perdana menteri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh yang mengetuai siasatan ke atas 1MDB berkata, pihaknya menjalankan siasatan secara profesional kerana premis itu ialah kediaman bekas perdana menteri dan keluarganya.
“Kita dimaklumkan mengenai kehilangan coklat, kita minta peguam kepada Najib untuk ke hadapan dan failkan laporan polis. Beritahu saya, siapa yang makan coklat berkenaan dan kita akan siasat dari sana,” katanya dalam sidang media di pejabat JSJK di Menara 238, hari ini.
Pada 19 Mei lalu, Najib dalam satu kenyataan membidas anggota polis yang meminta makanan disediakan untuk mereka ketika menyerbu rumah anaknya.
“Ini ditunjukkan dengan cara anggota polis mengambil makanan dan coklat dalam peti sejuk,” katanya yang turut mengkritik polis melakukan serbuan dengan “semberono dan tidak bertanggungjawab”.
Amar Singh berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur jika dakwaan Najib mengenai anggota dan pegawainya memakan coklat adalah benar.
Katanya, Najib hanya boleh menuntut kasut bayi yang dirampas, selepas menunjukkan bukti ia dibeli dengan wang mereka sendiri.
“Tidak ada baju bayi yang dirampas. Pihak itu boleh buat representasi kepada kita bahawa barangan itu dibelikan menggunakan wang beliau. Setelah semuanya selesai kita akan pulangkan barangan.”
Dalam perkembangan lain, Amar Singh yang bakal bersara pada 8 Jun ini, enggan mengulas lanjut sama ada kerajaan sudah melanjutkan kontraknya.
Ada media melaporkan kontrak Amar Singh dilanjutkan 6 bulan lagi untuk melengkapkan siasatan ke atas kes 1MDB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan