HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Oktober 2018

RMK11: Suara rakyat Setiu ke parlimen

SHAHARIZUKIRNAIN ABD KADIR

 
 
PERBAHASAN Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 membuka ruang untuk saya mengetengahkan suara dan harapan rakyat Terengganu khususnya dari kawasan Parlimen Setiu yang saya wakili. Perbahasan saya tertumpu kepada empat perkara utama iaitu: (i) kekangan rakyat Setiu; (ii) pembangunan luar bandar; (iii) jurang dua golongan; (iv) dan keseimbangan alam sekitar.
 
Pertamanya, kekangan rakyat Setiu merupakan keutamaan saya. Aduan serta harapan rakyat Setiu dibawa ke Peringkat Kerajaan Persekutuan yang merupakan salah satu langkah bagi mencapai segala harapan rakyat.
 
Hasil daripada program bersama rakyat baru-baru ini, saya berjaya mengumpul pelbagai aduan dan masalah rakyat untuk diketengahkan. Antara isu yang berjaya diangkat ialah, masalah air di Setiu, bagi menyelesaikan masalah tersebut, saya mencadangkan supaya disegerakan kelulusan projek pemasangan paip utama oleh Kerajaan Persekutuuan di mana kertas kerja telah pun disediakan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dengan anggaran kos 4.76 juta.
 
Isu kemudahan kesihatan yang berkait rapat dengan nyawa rakyat harus dipandang serius oleh Kerajaan. Oleh itu, cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Rhu 10 diutarakan bagi memudahkan rakyat mendapat kemudahan rawatan dan penambahbaikkan Klinik Kesihatan Jabi yang semakin tidak mampu menampung jumlah rakyat seramai 35,000 dengan jumlah keluasan Klinik Kesihatan Jabi hanyalah 520 kaki persegi.
 
Seterusnya, pembangunan luar bandar adalah merupakan sebahagian daripada strategi yang penting untuk memupuk satu sistem ekonomi yang bersepadu. Oleh itu, saya mencadangkan agar aspek peluang pekerjaan anak-anak luar bandar seharusnya diberi penekanan daripada pihak kementerian agar perpindahan penduduk ke bandar dapat dielakkan bagi mengurangkan jurang antara luar bandar dan bandar.
 
Selain itu, saya juga menekankan isu jurang antara dua golongan iaitu golongan T20 dan B40 yang semakin ketara. Kerajaan seharusnya mengaplikasikan cadangan yang dibawa oleh PAS iaitu memperkenalkan cukai korporat agar harta kekayaan tidak hanya berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja. Golongan B40 seharusnya dapat merasai kekayaan golongan T20. Dengan ini, konsep keadilan dan kesejahteraan di antara rakyat dapat dirasai oleh semua rakyat.
 
Kerajaan juga perlu memberi penekanan terhadap keseimbangan alam sekitar. Saya telah memberi cadangan agar kerajaan meningkatkan usaha dalam penggunaan kereta hybrid agar pelepasan karbon yang akan mencemarkan alam sekitar dapat dikurangkan. Manakala isu yang berkait rapat dengan rakyat Setiu iaitu hakisan yang melanda persisiran pantai Batu Rakit, kecetekan muara Sungai Merang , jalan di Kg Bukit Aman sehingga Kg Sungai Las , masalah pendapatan peneroka FELDA juga menjadi tajuk yang dilaungkan di dalam perbahasan.
 
Akhirnya, saya menggesa pihak kerajaan agar menunaikan segala harapan rakyat dan tidak semata-mata menabur janji manis kepada rakyat serta tidak sama sekali menganaktirikan mana-mana negeri terutama daerah Setiu.
 
Rakyat meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat perubahan kerajaan baru dan tidak lagi mengulangi kesilapan kerajaan Barisan Nasional. Saya juga berharap Kerajaan Persekutuan dapat bersama-sama dengan kerajaan negeri walaupun berlainan parti politik demi menjaga kepentingan rakyat dan negara.
 
’Islam Memimpin’
 
YB SHAHARIZUKIRNAIN ABD KADIR, Ahli Parlimen Setiu - HARAKAHDAILY

Tiada urus janji wang bagi pemimpin UMNO masuk Bersatu – Dr M

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak melakukan sebarang urus janji dengan anggota Parlimen dari UMNO, termasuk menawarkan kepada mereka wang untuk melompat parti.

Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Bersatu, malahan berkata, “kami telah menetapkan bahawa untuk menyertai Bersatu, mereka hendaklah meninggalkan UMNO, menjadi anggota bebas untuk satu tempoh dan hanya selepas itu boleh memohon menjadi anggota parti kami”.

“Sekiranya didapati sebarang elemen rasuah dalam perkara ini, anda disambut baik untuk melaporkannya dan kita akan ambil tindakan. Setakat ini, tiada melibatkan wang,” kata Dr Mahathir bila ditanya sama ada terdapat elemen rasuah apabila pemimpin UMNO melompat ke Bersatu atau berhasrat berbuat demikian.

Dr Mahathir berkata demikian selepas menyampaikan ucap tama pada Persidangan Anti-Rasuah 2018 di sini, hari ini.

Anggota Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed Mustapa menyertai Bersatu pada 26 Okt, selepas bertindak keluar dari UMNO pada 18 Sept. Kira-kira 40 anggota UMNO dikatakan bertemu Dr Mahathir dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluahkan hasrat mereka untuk menyertai parti berkenaan.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menjelaskan bahawa proses untuk menerima pemimpin lain UMNO tidaklah semudah itu.

“Contohnya, Tok Pa adalah anggota bebas untuk beberapa tempoh sebelum permohonan beliau diluluskan,” katanya.

Dr Mahathir juga menafikan dakwaan bahawa terdapat perbincangan berhubung tindakan 40 anggota Parlimen UMNO yang didakwa berhasrat menyertai Bersatu.

Beliau berkata, kepimpinan Bersatu belum memasuki sebarang fasa perbincangan dengan anggota UMNO yang berhasrat menyertai Bersatu.

Bersatu belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai sama ada menerima atau tidak anggota UMNO yang berhasrat menyertai parti itu.– Bernama

IBR bukan jaminan tidak didakwa jika ambil rasuah – SPRM

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA KANGSAR: Pihak yang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) tidak mempunyai imuniti atau kebal daripada didakwa jika terlibat rasuah.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Pencegahan) Ahmad Shukri Mohamad Taib menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sesiapa saja termasuk kakitangan awam yang melakukan kesalahan tersebut.

“Tidak semestinya apabila seseorang itu menandatangani IBR mereka tidak boleh disiasat dan didakwa. Tidak ada imunisasi atau kekebalan pada IBR. Kita akan siasat apabila ada laporan mengenai rasuah,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani IBR membabitkan 25 anggota Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan 20 pegawai MPKK di sini, hari ini.

MPKK menjadi majlis perbandaran yang ketiga di Perak menandatangani IBR selepas Majlis Perbandaran Manjung dan Majlis Perbandaran Taiping.

Selain itu, Ahmad Shukri berkata SPRM negeri Perak mengambil pendekatan untuk memberi penerangan kepada pelajar sekolah tentang bahaya rasuah.

Beliau berkata pihaknya telah melaksanakan dua program iaitu Sahabat Celik dan Wira Anti Rasuah di tiga buah sekolah di Perak tahun ini.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKK Datuk Shahrom Abd Malik berkata pihaknya bercadang menambah lot parkir di dua jalan di bandar ini iaitu Jalan Daeng Selili dan Jalan Raja Chulan di sini tidak lama lagi.

Beliau berkata penambahan lot itu membabitkan hampir 300 lot parkir bertujuan mengelak kesesakan dan memastikan pengguna tidak meletakkan kenderaan sesuka hati.

Selain itu, Shahrom berkata seramai 7,000 peserta akan menyertai larian sempena Hari Keputeraan Sultan Perak yang akan diadakan pada 11 Nov ini di sini.

Katanya larian sejauh 15 kilometer itu akan menampilkan kelainan berbanding sebelum ini apabila penganjur menggunakan beberapa laluan baharu seperti melalui kawasan kampung, sawah, kebun kelapa sawit, Sayong dan persisiran Sungai Perak.– Bernama

Jumlah 310,000 orang gay belum muktamad


Jakim


KUALA LUMPUR - "Anggaran jumlah 310,000 orang gay dalam negara masih belum dimuktamadkan Kementerian Kesihatan Malaysia," kata Penolong Pengarah (Kanan) Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kebajikan Islam (Jakim) Dr Mohd Izwan Md Yusof.

Beliau berkata bagaimanapun Jakim akan terus komited memberikan penerangan dan bimbingan terhadap komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) terutamanya golongan gay yang ingin kembali ke pangkal jalan.

"Pintu sentiasa terbuka di Jakim untuk golongan LGBT terutamanya golongan gay bagi mendapatkan bimbingan kerana seseorang yang dilabel sebagai gay tidak semestinya suka terhadap hubungan sesama jenis,” katanya dalam satu kenyataan yang diterima menerusi aplikasi Whatsapp di sini hari ini.

Katanya, gay menurut definisi adalah seorang lelaki yang tertarik kepada sesama sejenis dari sudut seksual, jadi tidak adil jika dilabelkan mereka suka terhadap seks sesama lelaki kerana mungkin mereka hanya tertarik dari sudut romantik atau bentuk fizikal lelaki lain sahaja.

"Justeru Jakim komited untuk mendidik mereka melalui program berbentuk seminar dan mukhayyam (perkhemahan) supaya kita dapat memantapkan kerohanian mereka," katanya.

Katanya, Jakim turut menyeru masyarakat untuk sama-sama mengukuhkan institusi kekeluargaan dan pemantauan perilaku anak-anak perlu dilakukan secara berterusan di samping memberikan pendidikan agama sebaik mungkin.

Semalam Jakim yang mendedahkan ada kira-kira 310,000 golongan gay tahun ini, berbanding 173,000 lima tahun lalu.

Isu berkenaan didedahkan menerusi seminar kesedaran mengenai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) anjuran Jaim di Pulau Pinang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mendakwa tidak semua golongan gay dan transgender dalam negara terbabit dalam hubungan songsang.

Beliau dipetik sebagai berkata, masyarakat tidak boleh membuat kesimpulan berdasarkan rekod yang didedahkan Jakim.

Mujahid berkata seminar berkenaan antara lain bertujuan memberi penerangan kepada orang ramai, sekali gus menangani isu itu secara proaktif.  –Bernama

Pemansuhan hukuman mati belum dibincang di peringkat Kabinet

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori masih belum dibincangkan di peringkat Kabinet setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata kerajaan masih menunggu maklum balas dan penelitian menyeluruh daripada Jabatan Peguam Negara sebelum ia dibawa ke Kabinet untuk tindakan lanjut.

“Pada ketika ini prosesnya masih di Jabatan peguam Negara (AGC). Masih belum di peringkat Kabinet lagi. Tentang berapa lama proses ini akan ambil masa… saya harap ia selesai menjelang bulan depan, diharapkan selepas pembentangan belanjawan (Belanjawan 2019),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Liew berkata beliau telah diarahkan untuk mengeluarkan moratarium kepada pihak Lembaga Pengampunan supaya menangguhkan pelaksanaan hukuman mati kepada semua pesalah yang menunggu hukuman gantung.

Terdahulu, ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya, Liew berkata kerajaan tidak tergesa-gesa untuk memansuhkan hukuman mati.

Beliau berkata kerajaan akan meneliti semua pandangan dan membuat kajian menyeluruh bagi cadangan pemansuhan hukuman mati yang melibatkan 32 kesalahan di dalam lapan akta berkenaan.

Liew berkata kerajaan telah menjalankan satu kajian berhubung pemansuhan hukuman berkenaan yang dilaksanakan I-CeLLS, organisasi di bawah naungan Jabatan Peguam Negara, yang turut melibatkan pakar terulung dunia dari University of Oxford, Profesor Roger Hood sebagai perunding kajian berkenaan.

“Kerajaan terdahulu telah jalankan kajian, kalau saya tidak silap pada 2013, tapi pada masa itu kerajaan mungkin kurang iltizam politik untuk mansuhkan hukuman mati sama sekali,” katanya.

Beliau menjawab celahan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang menasihatkan kerajaan supaya tidak tergesa-gesa dalam memansuhkan hukuman berkenaan.– Bernama

Usaha bantu cari Jho Low bukan untuk elak disiasat SPRM – Hishammuddin

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan usahanya untuk membantu kerajaan bagi mencari serta membawa pulang Low Taek Jho atau Jho Low adalah kerana ingin mengelak daripada disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Menteri Pertahananan itu berkata jika benar beliau dikaitkan dengan apa-apa kesalahan rasuah, sudah tentu pihak SPRM akan melakukan siasatan dan mendakwanya.

“Apa yang SPRM ada terhadap saya? … saya tak lakukan rasuah, jika ada dakwaan nak siasat SPRM sampai hari ini tak ada panggil saya.

“Saya dalam hal ini (rasuah) tak terlibat, kalau orang nak cakap saya takut dengan SPRM biar SPRM sendiri dedahkan (kes rasuah),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Hishammuddin ditanya mengenai cakap-cakap bahawa usahanya membantu Putrajaya mengesan Jho Low bertujuan untuk tidak dikenakan sebarang tindakan siasatan SPRM.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dirinya adalah antara 40 nama Anggota Parlimen UMNO yang dikatakan akan melompat parti untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya dah nyatakan beberapa kali saya tak akan keluar parti… orang putih kata ‘action speaks louder than words’… mana ada saya keluar parti,” katanya.

Sementara itu, menyentuh tentang pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat ini, Hishammuddin berharap Kementerian Pertahanan di bawah kerajaan baharu dapat meneruskan aspek keprihatinan dan kebajikan yang dilakukan kerajaan terdahulu.– Bernama

Selepas 100 hari, Khalid Samad catat 3 kejayaan utama



Selepas 100 hari, Khalid Samad catat 3 kejayaan utama
Khalid menunjukkan dokuman laporan Task Force yang membuat syor-syor dalam isu tanah DBKL. Task Force ini berjaya tambahkan RM149 juta ke dalam akaun DBKL.
 
Politik, bukan sekadar pecaturan yang bercorak strategik. Di mana yang menang akan mendapat seribu satu habuan; justeru yang kalah pula akan terus dipinggirkan.

Sebenarnya, berjaya ataupun gagalnya karier seseorang ahli politik terletak pada keberkesanan mereka dalam mengutarakan hujah-hujah beliau, merangka tindakan dan mempastikan keberkesanan tugas mereka.

Dari ketiga-tiga segi ini, Khalid Samad, sebagai Menteri Wilayah telah mempamerkan ciri ciri ini dengan jayanya.

Pertamanya, Khalid Samad telah berjaya mendemokrasikan semula institusi pentadbiran di ibu negara Kuala Lumpur apabila beliau melibatkan semua wakil yang dipilih rakyat ke dalam sistem pentadbirannya, sebaik sahaja beliau dilantik sebagai menteri.

Ia adalah sejarah besar setelah sekian lama wakil-wakil rakyat ini terpinggir walaupun kumpulan mereka adalah majoriti di Wilayah.

Majlis Menteri Wilayah mengadakan mesyuarat pertama mereka pada 20 Julai 2018, di Menara DBKL, 18 hari selepas Khalid mengangkat sumpah secara rasmi sebagai menteri.

Melalui Majlis Menteri, kesemua 11 ahli parlimen di Kuala Lumpur duduk bersama para pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berbincang dan memutuskan segala urusan di ibu negara itu.

Ia satu format baru pentadbiran DBKL. Kalau selama ini DBKL hanya dipandu oleh Lembaga Penasihat yang dilantik oleh menteri, kini DBKL dipandu oleh wakil yang dipilih oleh rakyat.

Ini merupakan satu langkah yang bijak, malah tepat pada masanya, memandangkan betapa penting-nya semua pihak boleh saling memahami segala atur-langkah pembangunan Wilayah Persekutuan.

Walaupun jawatan kuasa sebelas orang ini tidak boleh menyelesaikan segala hal remeh temeh dan isu-isu pembangunan, namun margin kesalahan proses ini boleh terus disempitkan menerusi perbincangan yang bertunaskan demokrasi.

Tiga kejayaan besar dalam 100 hari pertama Khalid sebagai Menteri Wilayah.

PELAN TEMPATAN KUALA LUMPUR 2020

Serentak dengan kejayaan yang pertama itu, Khalid sebagai Menteri Wilayah telah membuat keputusan untuk menggezetkan Plan Tempatan Kuala Lumpur 2020 yang telah disiapkan lebih 18 tahun lalu.

Ia tidak pernah digezetkan walaupun jutaan ringgit telah dibelanjakan untuk mengkaji dan membuatnya — semata-mata kerana bimbang plan itu mengikat keputusan yang hendak dibuat kemudian.
Bagi Khalid, langkah menggezetkan plan ini penting untuk mempastikan pembangunan Kuala Lumpur berjalan sebagaimana dirancang bukan ikut kehendak semasa sahaja.

Insya Allah plan ini akan digezetkan menjelang akhir tahun ini selepas segala prosedur yang diperlukan dipenuhi.

Selepas kedua-duanya berjalan, Khalid memasuki fasal penting dalam masa-masa awal kerier beliau sebagai Menteri Wilayah — mengendalikan isu penjualan tanah oleh DBKL yang menjadi isu utama menjelang pilihan raya umum ke 14 lalu.

Ketika itu ahli parlimen DAP telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa berlaku salah guna kuasa dan rasuah dalam penjualan 64 lot tanah di Kuala Lumpur.

Langkah pertama yang dibuat Khalid adalah meminta SPRM membuat kajian segera mengenainya.

Serentak dengan itu juga, Khalid menubuhkan satu Task Force (Pasukan Petugas) untuk mengkaji isu ini secara mendalam bagi pihak beliau sendiri sebagai menteri. Task Force ini terdiri dari pegawai pejabat beliau, pegawai Kementerian Wilayah dan pegawai dari DBKL sendiri.


Pasukan Task Force yang membawa RM149 juta untuk DBKL selepas penjualan tanah ibu kota itu dirunding semula oleh mereka.

Perkara pertama yang mereka temui adalah bukan 64, tetapi 97 transaksi penjualan tanah berlaku di bawah DBKL.

Selepas bermesyuarat secara marathon, Pasukan Petugas ini telah membuat pelbagai penemuan dan langkah yang sangat bermakna untuk negara. Dan yang paling penting adalah berjaya menambahkan RM149 juta untuk DBKL hasil traksaksi tanah itu selepas rundingan semula dibuat dengan para pembelinya.

RM149 juta bukan satu nilai yang kecil dan ia diperolehi hanya dengan merundingkan semula dengan pembelinya. Entah apa yang berlaku dalam pentadbiran sebelum ini sehingga tanah-tanah itu dijual dengan harga yang murah dalam 97 transaksi itu.

Untuk tahun depan, Khalid mula merangka plan untuk kementeriannya. Yang bakal menjadi tumpuan adalah menangani masalah kesesakan di ibu kota dengan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, memberikan tumpuan kepada kebajikan untuk miskin bandar dan pelan kebajikan untuk semua warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menjelang akhir tahun 2018 ini beliau mahu semua sekolah tahfiz di ibu kota didaftarkan. Ia bertujuan untuk membolehkan kerajaan mengenalpasti kewujudan mereka dan seterusnya dapat membantu mereka.

Karier politik seseorang ahli parlimen memang penuh dengan ranjau di sepanjang jalan. Khalid Samad akan terus menempuhi-nya. Namun bukan mudah juga untuk membuka langkah-langkah yang boleh mendatangkan pelbagai manfaat untuk penduduknya.

Khalid Samad harus digalakkan untuk terus menggunakan pelbagai cara baru untuk meningkatkan tahap kemajuan kementeriannya dan seterusnya memberi manafaat kepada seluruh negara. Syabas.

Hubungan Pas Umno kini sampai ke akar umbi



Hubungan Pas Umno kini sampai ke akar umbi
Ketua Umno Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman memeluk pimpinan Pas Pasir Salak dalam pertemuan mahabbah itu.

Kerjasama antara Pas dengan Umno kini bergerak ke akar umbi pula dengan majlis kunjung mengunjung berlaku antara kepimpinan kedua-dua parti peringkat kawasan selepas mendapat isyarat di peringkat pusat.

Pada 27 Oktober 2018, jam 11.00 pagi, perjumpaan mahabbah antara kepimpinan Umno Bahagian Pasir Salak bersama Pas Kawasan Pasir Salak berlaku di kediaman Ahli Parlimen kawasan berkenaan, di Kampong Gajah.

“Beberapa inisiatif telah dicadangkan bagi memulakan kerjasama politik antara Umno dan Pas bagi memastikan kesucian agama Islam dan bangsa Melayu.

“Satu perkembangan positif bagi warga Pasir Salak,” lapor Umno Pasir Salak melalui facebook mereka hari ini.

Dalam majlis itu, Ketua Umno Bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berpelukan dengan Yang Dipertua Pas Pasir Salak.

Turut serta dalam kunjungan itu adalah para pemimpin Muslimat Pas Kawasan bertemu dengan para pemimpin Wanita Umno Bahagian.

Pemimpin Muslimat Pas kawasan bertemu dengan Wanita Umno Bahagian Pasir Salak dalam pertemuan ini.

Di peringkat pusat, hubungan antara kedua-dua parti mencapai puncak apabila Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinannya menyertai Muktamar Pas.

Ia dibalas oleh kunjungan kepimpinan Pas ke Mesyuarat Agung Umno (PAU) 2018 di Kuala Lumpur. Turut datang ke PAU 2018 adalah kepimpinan Muslimat dan Pemuda Pas.

Sebelum ini, Pas sentiasa sahaja menafikan hubungan mereka dengan Umno kerana parti Melayu itu dianggap sebagai musuh mereka.

Namun sejak Pas dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang hubungan ketara berlaku antara kedua-dua parti itu.

Kementerian batal projek tanpa tender terbuka

sinar harian

Dr Xavier Jayakumar
Dr Xavier Jayakumar
 
 
KOTA KINABALU - Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli membatalkan beberapa projek di bawah kerajaan sebelum ini apabila didapati dijalankan tanpa tender terbuka.

Menterinya Dr Xavier Jayakumar berkata sebanyak 95 peratus kontrak di bawah kementerian itu sebelum ini menggunakan kaedah tender terhad dan rundingan secara terus dalam projek yang terlibat.

“Sebab itulah di Sabah, kementerian telah membatalkan kontrak yang terlibat dan membuka semula untuk tender terbuka,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata pembatalan itu melibatkan beberapa projek bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci projek yang terlibat.

Dalam pada itu, beliau berkata menjelang pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat ini, kementerian  itu telah  menghantar senarai projek pembangunan termasuk di Sabah.

“Memang ada peruntukan untuk Sabah kerana banyak infrastruktur yang perlu dimajukan di negeri ini khususnya berkaitan dengan air yang dikendalikan di bawah kementerian ini,” katanya.  –Bernama

40 pelajar di Kedah terlibat jenayah


40 pelajar di Kedah terlibat jenayah
Tetamu jemputan bergambar kenangan ketika hadir ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim Sungai Petani bagi menjayakan program berkenaan.

 
SUNGAI PETANI – Seramai 40 pelajar sekolah menengah dikesan terlibat jenayah bermula Januari hingga Oktober 2018 di mana lapan daripadanya berumur 13 hingga 15 tahun dan selebihnya berumur 16 hingga 18 tahun.

Ketua Polis Kedah, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, bagi statistik kesalahan dadah pula, seramai 17 pelajar ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah narkotik bagi tempoh Januari hingga September 2018 seperti memiliki dadah dan positif ujian air kencing.

'Walaupun angka berkenan agak kecil namun sekiranya tidak ditanggani segera, jumlah berkenaan boleh meningkat sekaligus merosakkan institusi pendidikan negara,” katanya kepada media ketika merasmikan Program Kepolisian Komuniti bersama warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim Sungai Petani.

Menurutnya, antara kes jenayah membabitkan pelajar termasuklah gangsterisme, pergaduhan dan curi motosikal.

“Gangsterisme di Kedah bukanlah ketara kerana ada satu, dua sekolah sahaja dipantau termasuk di Sungai Petani dan Kulim berkaitan cubaan pelajar nak masuk kumpulan itu,” katanya.

Dalam perkembangan berbeza, katanya, penganjuran Program MyIndah 19 yang menyasarkan 19 buah sekolah menengah antara kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan kejayaan memberangsangkan.

“Kita mula Program MyIndah 19 sejak 2016 dan memang ketara penurunannya. Sebenarnya kita mengesan dalam 60 sekolah terlibat tetapi selepas dikenal pasti, ada 19 sekolah sahaja lagi yang tinggal.

“Objektif utama ialah memulihkan disiplin pelajar yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau menjelaskan, Program MyIndah 19 dilaksanakan melalui ujian saringan air kencing ke atas pelajar yang dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Selepas itu, kita bersemuka dengan ibu bapa dengan bantuan AADK, guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru untuk memberi pendedahan kepada keluarga, kadang-kadang mereka tidak diberi pendedahan berkaitan penglibatan anak-anak dalam dadah,” katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan wujudnya penglibatan pelajar dalam kegiatan pengedaran dadah di negeri ini.

Katanya, terdapat pelbagai faktor yang mendorong pelajar terlibat jenayah termasuk faktor persekitaran yang terpengaruh dengan kumpulan samseng dan kongsi gelap selain inginkan perhatian dan kemewahan,  kurang perhatian kawalan keluarga dan kasih sayang.

“Pengaruh desakan oleh kumpulan rakan dalam mengejar kemewahan hidup dengan mengamalkan gaya hidup mewah telah mendorong pelajar melakukan perkara tidak sepatutnya seperti kecurian, pecah rumah, ragut dan samun.

“Mereka yang terlibat dalam kecurian kenderaan khususnya motosikal bertujuan untuk berseronok serta mendapatkan alat ganti yang tidak mampu dibeli untuk aktiviti merempit,” katanya.

Dalam majlis sama, warga IPG dan peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah dipersembahkan dengan pertunjukkan T Baton dan demonstrasi K9 oleh pasukan PDRM.

Sistem pendidikan: Mana lebih zalim, kerajaan BN atau PH?


Najib Tun Razak
Najib - Foto Bernama
 
 
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan perbezaan kerajaan dahulu dengan kerajaan PH hari ini apabila menyentuh sistem pendidikan negara.

Melalui catatan di Facebooknya, Najib berkata, sebelum ini PH mengatakan kerajaan BN zalim terhadap anak muda. Pendidikan dilaungkan sepatutnya percuma, PTPTN patut dihapuskan.

“Malah turut diumumkan sebagai janji mereka untuk mengatasi inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerajaan BN yang begitu meluas dan terancang,” katanya.

Najib berkata, malangnya, apabila ditanya mengenai janji PH di Dewan Rakyat petang tadi Menteri Pendidikan , Dr Maszlee Malik menjawab bahawa tiada rancangan untuk pendidikan percuma kerana pendidikan sudah hampir percuma.

“Menteri kata, pendidikan peringkat rendah dan menengah kerajaan adalah percuma. Pengajian tinggi juga hampir percuma yang mana pelajar hanya perlu membayar 10 peratus daripada kos operasi. Kos 10 peratus itu juga ditanggung kerajaan menerusi biasiswa dan secara tidak langsung menerusi PTPTN. Pembayaran balik juga boleh dirunding mengikut kemampuan peminjam.

“Bukankah itu yang kerajaan BN dahulu melakukan juga? Apa bezanya? Pendidikan rendah dan menengah juga percuma sekarang kerana kerajaan BN yang mansuhkan semua bentuk bayaran dan yuran bermula tahun 2012,” katanya.

Najib menambah, bak kata orang lencun terus, mereka yang sebelum ini berharapan apabila mendengar jawapan rasmi menteri pendidikan PH hari ini mengenai janji-janji dan hasutan PH dahulu.

Cuti anggota penyelamat dibekukan



Wan Azizah
Wan Azizah
 
 
PUTRAJAYA - Cuti anggota agensi penyelamat dan pasukan pengurusan bencana akan dibekukan selama dua bulan bagi menghadapi bencana banjir monsun Timur Laut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pembekuan cuti itu bermula November.

Ahad, 28 Oktober 2018

Tak boleh panggil kereta nasional – Khairy

Norlaile Abd Rahman 
 Khairy
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media selepas selesai menghadiri Forum Ekonomi Belia 2018 anjuran Perdana Fellows Alumni Association (PFAA) di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI


KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Jelebu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak bersetuju apabila projek automotif terkini diberi nama projek kereta nasional.

Jelasnya, meskipun kerajaan berkali-kali menyatakan projek tersebut akan dijalankan oleh pihak swasta namun apabila digelarkan projek kereta nasional, ia tidak dapat lari daripada bayangan kerajaan.

“Ford tidak digelar kereta nasional Amerika Syarikat manakala BMW juga tidak dipanggil kereta nasional Jerman.

“Apabila kita panggil kereta nasional, ia tidak boleh lari dari bermaksud projek tersebut dilaksanakan oleh syarikat milik kerajaan atau mendapat dana kerajaan mahupun geran daripada kerajaan sama seperti Proton dahulu.

“Sekiranya projek tersebut dilaksanakan pihak swasta dan dibiayai sepenuhnya pihak swasta, kita tidak boleh gelarkannya sebagai kereta nasional,” tegasnya ketika menjadi salah seorang panelis dalam sesi Agenda Bajet sempena Forum Ekonomi Remaja di sini hari ini.

Menurut Khairy, beliau sangat mengalu-alukan pelaburan dalam bidang automotif di negara ini asalkan ia dipacu oleh pasaran.

Tambahnya, sekiranya projek kereta nasional ketiga itu dilaksanakan hanya untuk meraih teknologi baharu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berpendapat terdapat banyak cara lain yang tersedia pada zaman sekarang untuk memperolehinya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pelabur-pelabur asing semakin menjauhi Malaysia berikutan ketidakstabilan politik di negara ini.

“Saya ada bertemu dengan ramai pelabur asing dan mereka berkata, sukar untuk melabur atau meletak aset di Malaysia kerana keadaan politik yang tidak stabil.

“Kita ada Perdana Menteri yang sudah berusia 93 tahun dan kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa dua atau tiga tahun lagi.

“Selama ini pelabur-pelabur asing datang ke Malaysia kerana kita mempunyai kestabilan politik tetapi saya menjangkakan dalam tempoh 24 sehingga 36 bulan akan datang, kita akan berhadapan tempoh yang sukar,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Khairy tidak bersetuju sekiranya kerajaan melaksanakan Cukai Keuntungan Modal atau Cukai Kekayaan dalam masa terdekat.

Jelasnya, pengenalan cukai-cukai baharu itu akan menyebabkan pengeluaran modal dari Malaysia.

“Keadaan ekonomi Malaysia sangat rapuh jadi apabila kita melaksanakan cukai-cukai tersebut saya bimbang pelabur dan orang kaya akan membawa wang mereka keluar dari Malaysia.

“Ini bakal memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Khairy yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi atau Menteri Kewangan bayangan Barisan Nasional (BN) akan membentangkan kerangka ekonomi parti berkenaan beberapa hari sebelum pembentangan Bajet 2019 oleh kerajaan di Parlimen.

Katanya, BN tidak akan membentangkan bajet alternatif pada tahun ini sebaliknya kerangka ekonomi itu bakal memberi idea atau cadangan yang boleh dilaksanakan kerajaan. -MalaysiaGazette


Amaran angin kencang, laut bergelora

 

xc6ed39c653808fda2c4a3698570c5c6d5bd524bf6adfd




KUALA LUMPUR – Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak dan Barat Sabah bermula esok hingga Jumaat, 2 Nov ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak juga terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka berlaku dalam tempoh sama.- BERNAMA


Saya penganggur, tak mampu tawar wang – Rafizi

Nizam Zain

Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli. foto HAZROL ZAINAL, 16 MEI 2018.
Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli. foto HAZROL ZAINAL, 
 

AMPANG – “Saya pengganggur, saya tiada kapasiti untuk sebarang menawarkan wang, jawatan dan sebagainya,” kata calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Beliau menegaskan, akar umbi sangat memahami keadaan beliau yang bukan lagi bergelar wakil rakyat seperti penggal lalu dan mustahil individu tidak berjawatan seperti beliau untuk menyogok undi.

“Sebab itu saya tak bimbang sangat asalkan anggota parti faham betul-betul perlunya kita untuk menolak politik wang.

“Keputusan setakat ini menunjukkan ada sambutan yang kuat daripada anggota bawahan yang menerima mesej saya untuk tolak politik wang dan tolak jawatan berlebihan,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Cempaka hari ini.

Rafiz juga berkata, keputusan pemilihan PKR Perak semalam yang menyebelah kepada beliau menunjukkan seolah-olah bekas Ahli Parlimen Pandan itu terlibat dalam politik wang.

“Itu sebenarnya akan membawa kesan yang lebih buruk kepada pesaing-pesaing saya kerana anggota-anggota PKR di bawah tahu siapa yang berjawatan dan siapa yang bawa duit,” katanya.

Sementara itu, Rafizi juga mempertahankan calon Naib Presiden PKR, S.Kesavan yang dituduh terlibat dengan politik wang sehingga satu laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat ke atasnya.

“Kalau tengok dalam kes YB Kesavan di Sungai Siput ia sebenarnya satu perangkap.

“Ada seorang bertanding jawatan di cabang, seorang ibu pergi berjumpa dengan beliau merayu untuk mendapatkan wang kerana anak dia kanser, miskin dan sebagainya.

“Kesavan keluar (cek) pusat khidmat. Siapa pun dengan minda waras kalau orang nak beli undi, dia tak guna cek pusat khidmat, borang itu semua ada direkodkan tapi dia (pengadu) tergesa-gesa buat laporan SPRM,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


Penjara enam bulan balasan hina kematian polis

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang penghantar ikan kerana memuatnaik komen menghina kematian dua anggota polis dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Selasa lepas.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Hannan Ibrahim, 27, yang berasal dari Kampung Parit Tengah, Pekan dekat sini, selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan itu.

Hukuman diarahkan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 23 Okt lepas.

Tertuduh yang bertubuh kecil itu didakwa memuatnaik komen menghina kematian dua anggota polis itu dengan menggunakan akaun Facebooknya dalam laman Komuniti Kuantan pada pukul 5.30 petang, 23 Okt lalu.

Perbuatan tertuduh yang didakwa dilakukan dengan menggunakan telefon bimbit jenama Samsung Galaxy J2 Prime miliknya dan dilakukan dengan tujuan menyakitkan hati sesetengah pihak.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a)(i) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Mohd Hannan yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atasnya atas alasan dia hanya bekerja sebagai penghantar ikan patin dari Pekan ke Temerloh dengan pendapatan RM1,600 sebulan.

“Saya mohon tempoh penjara yang singkat kerana saya menanggung ibu bapa dan seorang anak saudara. Emak saya tidak sihat dan saya yang perlu menjaganya,” katanya yang sempat mengucapkan terima kasih kepada hakim selepas hukuman dijatuhkan.

Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh untuk dijadikan sebagai pengajaran kepada dirinya dan orang awam supaya lebih berhati-hati dalam tindakan mereka dalam laman sosial.

“Tindakan tertuduh yang meninggalkan komen di posting berkaitan kematian dua anggota polis itu bukan hanya mendatangkan kemarahan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi juga mengguris hati keluarga mangsa,” katanya.

Pada Selasa lepas, dua anggota polis dari cawangan Gerakan IPK Kuantan, Sarjan Mejar Roslan Maon, 50, dan Konstabel Watson Edin, 23, maut selepas kereta peronda dinaiki terbabas dan melanggar penghadang jalan di kilometer 183.4 LPT, dekat Maran.

Mereka dalam operasi mengiringi kenderaan yang membawa kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia 2018 dalam perjalanan dari Bentong ke Kuantan semasa kejadian berlaku pukul 3.20 petang.– Bernama

Belanjawan pertama PH akan memastikan kemakmuran rakyat – PM

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Belanjawan pertama Pakatan Harapan yang akan dibentang pada Jumaat ini akan meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih kukuh dan memastikan kemakmuran rakyat dan generasi akan datang, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita sekarang sedang dalam penyusunan semula, ia merupakan sesuatu yang perlu dilakukan untuk menyediakan keupayaan kita untuk menyerap kejutan global atau sebarang pergolakan kewangan di hadapan,” katanya dalam ucaptama pada persidangan tahunan Persekutuan Analisis Teknikal Antarabangsa 2018 di sini hari ini.

Perdana menteri memberi jaminan bahawa ekonomi Malaysia mampu menyerap kejutan global dan menembusi cabaran global dan ketidakpastian melalui dasar-dasar yang akan sentiasa menjadi mesra perniagaan dan responsif terhadap idea dan cadangan baharu.

Beliau menegaskan bahawa, kerajaan tetap yakin bahawa dasar-dasar baru akan mewujudkan asas yang lebih kukuh, keseimbangan antara perbelanjaan berhemat dan memastikan sektor swasta diberi rangsangan yang kuat.

“Saya juga ingin memberi jaminan kepada para pelabur bahawa sebarang perubahan dasar tidak akan memudaratkan perniagaan dan usaha mereka,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Menyentuh mengenai pasaran modal di Malaysia, Dr Mahathir berkata negara juga telah mengalami pelbagai perubahan daripada penyatuan kepada peraturan dan penyesuaian teknologi baharu dan teknologi yang dinaik taraf serta pengenalan penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelabur runcit dan institusi.

Beliau percaya, kecairan yang lebih besar akan memastikan pasaran modal yang berkembang maju membawa lebih banyak peniaga, pemaju sistem, ahli strategi pasaran dan lebih banyak pemain.

“Pemain institusi yang tidak mengambil risiko, memerlukan saham modal yang lebih kecil dan meningkatkan idea penyertaan mereka secara langsung atau tidak langsung. Pelabur runcit dan peniaga pula perlu mengasah kemahiran mereka, “katanya.

Menurut beliau , sementara pelaburan jangka panjang adalah kritikal, perdagangan jangka pendek akan mendorong penyertaan lebih jauh dalam pasaran dengan itu meningkatkan kecairan keseluruhan dalam pasaran saham.

Dr Mahathir mengetengahkan bahawa kemahiran perdagangan bukan sahaja penting kepada kewangan profesional tetapi ia juga sangat relevan kepada keseluruhan orang awam yang melabur.

“Sekiranya lebih ramai orang mula berdagang dan memahami konsep asas, mangsa skim cepat kaya akan berkurangan dan bertambahnya jumlah individu yang celik kewangan akan membina masyarakat yang lebih berpengetahuan dan negara celik kewangan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dengan semua idea ini, adalah penting untuk kekal relevan dari segi infrastruktur dan pengetahuan agar dapat berkembang maju dalam dunia tanpa sempadan.—Bernama

Peguam: Video dalam telefon tidak cukup tuduh pemilik pengganas

Penyiasatan menyeluruh mesti dijalankan bagi menentukan sama 
ada seseorang itu terlibat dalam kegiatan keganasan. (Gambar Reuters)
 
PETALING JAYA: Dua orang peguam berkata, perbuatan menyimpan klip video dan gambar mengenai kumpulan militan Negara Islam (IS) dalam telefon bimbit tidak bermakna seseorang itu pengganas.

M Ramachelvam, yang mengetuai Jawatankuasa Reformasi Institusi dan Undang-undang Majlis Peguam berkata, pesanan Whatsapp, video dan gambar berkaitan IS, yang kini membolehkan pemiliknya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma, tidak secara automatik membuktikan kesalahan seseorang.

“Penyiasatan menyeluruh mesti dijalankan bagi menentukan sama ada seseorang itu terlibat dalam kegiatan keganasan. Majlis Peguam berpendapat Sosma tidak perlu dan perlu ditamatkan,” katanya.

Ramachelvam berkata, kegiatan berkait keganasan sudah pun diliputi di bawah Akta Keterangan dan Kanun Keseksaan.

Beliau memberi respons tersebut berikutan protes 100 ahli keluarga tahanan Sosma di luar Parlimen minggu lepas.

Ramai mendakwa anggota keluarga mereka ditahan kerana pesanan Whatsapp, gambar dan video berkaitan keganasan yang disimpan dalam telefon bimbit.

Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli, penasihat Desak Sampai Mansuh, sebuah kumpulan pendesak yang menuntut pemasuhan Sosma berkata, wujud beberapa pelabelan yang ditakrifkan secara longgar dalam akta tersebut.

Katanya, takrif pengganas atau keganasan tidak seharusnya meliputi sesiapa yang memiliki gambar atau video yang berkaitan, tetapi perlu wujud pertimbangan lebih teliti bagi menentukan sama ada seseorang itu terlibat dengan keganasan atau sebaliknya.

Seorang wanita berumur 59 tahun dari Klang, yang anaknya ditahan di bawah Sosma pada Mac tahun lepas memberitahu FMT semasa protes berkenaan, “saya fikir menyimpan gambar atau video yang diperolehi secara bebas di Internet adalah hak peribadi seseorang. Telefon bimbit adalah barang milik peribadi.”

Wanita itu yang enggan dikenali, berharap kerajaan akan memansuhkan Sosma dan membebaskan tahanan yang menurutnya, selalu berhadapan dengan layanan buruk.

“Mereka tidak sepatutnya dipenjarakan kerana gambar dan video yang ditemui dalam telefon bimbit,” katanya.

Rusni Abdul Razak, 50, berkata, suaminya kini menjalani hukuman penjara 7 tahun kerana memindahkan wang kepada anak mereka yang berada di Syria.

“Saya boleh terima kalau suami saya melakukan kesalahan, kalau mereka mahu menghukumnya sebagai satu amaran kepada orang lain, tetapi hukuman mestilah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Penganalisis: Tok Pa aset bernilai kepada PPBM


Kemasukan Mustapa ke dalam PPBM akan menambahkan bilangan 
kerusi Parlimen parti itu sendiri.
 
PETALING JAYA:Penganalisis politik melihat Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai aset besar kepada PPBM selepas penyertaannya ke dalam parti itu Jumaat lalu.

Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata kehadiran Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa ke dalam PPBM mampu mengukuhkan parti itu ekoran pengalamannya menjawat jawatan penting dalam kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, Mustapa mampu membantu menyerlahkan semula parti itu selepas ada kalangan menteri kabinet PPBM kerap dikritik kepimpinan mereka oleh banyak pihak.

“Dalam konteks sekarang di mana beberapa orang pemimpin atau menteri PPBM dikatakan tidak begitu cemerlang prestasi mereka, maka kemasukan Tok Pa dijangka memberikan lebih banyak pilihan kepada PPBM untuk menampilkan diri sebagai parti yang lebih berwibawa.

“Selain itu, memang jelas kemasukan Tok Pa ke dalam PPBM akan menambahkan bilangan kerusi Parlimen parti itu sendiri,” katanya kepada FMT.

Kamarul berkata demikian ketika mengulas pengumuman Mustapa pada Jumaat lalu untuk menyertai PPBM.

Menurut Mustapa, beliau memilih PPBM kerana percaya ia akan membuka ruang kepadanya untuk membantu rakyat di kawasan Parlimen Jeli.

“Saya berterima kasih kepada Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin, serta pimpinan PPBM kerana menerima saya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM, 2 hari lalu.

Kamarul berkata, kehadiran Mustapa juga dipercayai dapat membantu menyediakan pemimpin pelapis dalam PPBM selepas parti itu lebih dikenali dengan kepimpinan seperti Dr Mahathir dan presiden parti, Muhyiddin Yassin.

“Cuma untuk Tok Pa menerajui PPBM saya rasa itu sesuatu yang agak sukar untuk berlaku sebab beliau baru sahaja menyertai PPBM,” katanya lagi.

Meskipun kehadiran Mustapa ke dalam PPBM dijangka menarik pimpinan Umno lain untuk menyertai parti itu selepas ini, Kamarul bagaimanapun berkata ia bergantung kepada penerimaan pemimpin dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain.

“Sebab sebelum ini dapat dilihat bahawa ada beberapa parti komponen PH yang tidak senang dengan berita dan hasrat bekas pemimpin Umno untuk menyertai PH.

“Kalau parti komponen semua tiada masalah, semua positif, maka saya menjangkakan selepas ini lebih ramai pemimpin atau Ahli Parlimen Umno yang akan menyertai PPBM,” katanya lagi.

Bercakap di Dewan Rakyat sebelum ini, Mustapa, yang merupakan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, tidak menolak kemungkinan menyertai PH.

Mustapa meninggalkan Umno pada 18 September lalu selepas lebih 40 tahun bersama parti itu.

Beliau merupakan pemimpin terkanan Umno pertama meninggalkan parti itu selepas pilihan raya umum ke-14 9 Mei lepas.

Sementara itu, seorang penganalisis politik berkata pengumuman Mustapa untuk menyertai PPBM sudah dijangka sejak dari awal lagi.

Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute malah berkata tidak mustahil jika Mustapa turut diberikan satu jawatan penting dalam kerajaan sekiranya berlaku rombakan kabinet.

“PPBM adalah parti PH yang paling dekat dari segi ideologi dengan parti lama Tok Pa (Umno).

“Jika berlaku rombakan kabinet, tidak hairan kalau Tok Pa menjadi menteri pembangunan usahawan yang mempunyai banyak peluang untuk meningkatkan usaha kerajaan membantu golongan Bumiputera,” katanya pula.

Setiausaha Agung PPBM, Datuk Marzuki Yahya sebelum ini berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan khusus di peringkat pucuk pimpinan parti untuk memberi sebarang jawatan kepada Mustapa.

Rafizi jangka akan kalah di Selangor


Bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, beliau masih 
bertahan dengan kira-kira 1,000 undi. (Gambar Bernama)
 

AMPANG: Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli hari ini menjangkakan beliau akan kalah dalam pemilihan parti itu Selangor.

Menurutnya, peluangnya menang di Selangor hanyalah 45% berbanding penyandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali 55%.

“Saya memang jangka kalah di Selangor cuma yang mengejutkan sekarang ialah margin kekalahan itu.

“Ramai dalam PKR ramai yang merasakan (akan kalah teruk) oleh kerana Azmin pengerusi PKR Selangor dari 1998 lagi, kemudian dia juga menteri besar Selangor,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pemilihan parti itu di Pandan di sini hari ini.

Fasa terakhir proses pemilihan PKR peringkat Selangor yang mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi iaitu 249,850 orang, berlangsung hari ini di 6 daripada 22 cabang di negeri ini.

Enam cabang berkenaan adalah Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat yang mempunyai lebih 61,000 anggota layak mengundi.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata banyak pihak menjangka beliau akan kalah dengan margin 5,000 undi.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau masih lagi bertahan dengan kira-kira 1,000 undi.

Rafizi berkata, sokongan yang kuat kepadanya di negeri di luar Selangor juga akan memberikan persaingan sengit dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR itu.

“Di Sabah dan Sarawak itu dilihat berpihak kepada saya sedikit.

“Hari ini pengundian terakhir di semenanjung, kalau contohnya (undi) saya lebih kurang sama dengan Azmin, atau saya ketinggalan sedikit sahaja, itu akan beri peluang besar (kepada saya) di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Rafizi juga mengulas sama ada pihaknya telah mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung dakwaan amalan politik wang dalam pemilihan parti.

“Semua aduan oleh orang yang memaklumkan kepada saya mereka ditawarkan wang telah saya hantar terus kepada kepimpinan parti dan saya tahu Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri ada bercakap dengan beberapa orang,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi semasa berucap pada Majlis Amanat sempena pemilihan PKR di Seremban mendakwa politik wang berlaku secara berleluasa di 6 negeri yang sudah mengadakan pemilihan.

Beliau, yang merujuk pihak bertanggungjawab sebagai “sebelah sana”, mendakwa suasana politik wang itu tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini.

Rafizi pertahan Ahli Parlimen PKR didakwa beri ‘rasuah’ RM500

Khairil Ashraf
Rafizi berkata, dakwaan terhadap Kesavan akan memberi kesan buruk kepada pesaing beliau.

AMPANG: Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli hari ini mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan memberikan bantuan RM500 dalam bentuk cek kepada seorang wanita.

Rafizi berkata dakwaan bahawa calon naib presiden PKR itu menawarkan “rasuah” RM500 kepada wanita terbabit, yang juga merupakan ahli PKR, adalah dirancang.

“Ada seorang yang bertanding jawatan di cabang, seorang ibu datang berjumpa beliau (Kesavan) merayu minta bantuan kerana anak dia kanser, dia miskin dan sebagainya.

“Kesavan keluarkan cek pusat khidmat. Sesiapa yang waras, kalau mahu membeli undi, anda tidak akan keluarkan cek pusat khidmat bukan? Tapi tidak semena-mena dia (wanita terbabit) pergi buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pemilihan parti itu di Pandan di sini, hari ini.

Rafizi mengulas laporan polis dibuat seorang ahli PKR cabang Sungai Siput, Rohaida Awang yang mendakwa Kesavan menawarkan rasuah kepadanya agar mengundi beliau pada pemilihan parti itu.

Rohaida juga dilaporkan bertanding untuk jawatan naib ketua Wanita PKR Sungai Siput.

Rohaida mendakwa mempunyai bukti dalam bentuk rakaman suara dan gambar. Dalam laporan polisnya Rohaida berkata, beliau diminta ke pusat khidmat Kesavan pada 25 Oktober dan diberikan cek RM500.

Rohaida mendakwa cek berkenaan sudah ditunaikan dan diserahkan kepada SPRM di Ipoh, Perak.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, tuduhan bahawa calon yang bersama dalam “kemnya” mengamalkan politik wang hanya memberikan kesan buruk kepada pesaing beliau.

“Anggota di bawah tahu. Siapa yang bawa duit dan sebagainya.

“Saya penganggur, saya tak ada kapasiti menawarkan jawatan, wang dan sebagainya,” katanya.

Sabtu, 27 Oktober 2018

3 cadangan Rafizi untuk tambah baik sistem e-undi PKR

MALAYSIAKINI

    PEMILIHAN PKR | Menjelang fasa ketiga pemilihan PKR di Selangor Ahad ini, calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menggesa jawatankuasa pemilihan partinya segera melaksanakan penambahbaikan pada sistem e-undi.

"Oleh kerana Cabang Pandan akan melalui proses pengundian pada hari Ahad, 28 Oktober 2018 ini dan ia cabang yang dijangka panas, saya mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan beberapa penambahbaikan yang boleh dilaksanakan segera," kata Rafizi dalam suratnya kepada jawatankuasa pemilihan pusat dan jawatankuasa aduan dan rayuan pemilihan pusat.

Cadangan pertama Rafizi adalah melarang pengeluaran kod QR berdasarkan nombor kad pengenalan jika pengundi itu tidak hadir.

Rafizi mendakwa dia mendapat banyak aduan wujudnya pengundi-pengundi yang membawa beberapa kad pengenalan orang lain dan mengundi bagi pihak orang lain.

Bekas anggota parlimen Pandan itu juga mendakwa telah berjumpa sendiri dengan sekumpulan anak muda yang mengaku dibayar untuk melakukan perkara itu.

Cadangan Rafizi yang kedua adalah, menetapkan untuk hanya membenarkan pengundi dengan kod QR yang dicetak pada hari pengundian untuk mengundi.

Kod QR dikeluarkan oleh pegawai pemilihan PKR kepada pengundi yang kemudian akan digunakan pada tablet untuk mengakses sistem e-undi.

Surat Rafizi itu juga turut disertakan dengan gambar kod QR bagi cabang Pandan yang dicetak pada hari Rabu lalu.

Sementara itu, cadangan ketiga yang dikemukakan Rafizi untuk penambahbaikan pemilihan adalah agar jawatankuasa pemilihan memaklumkan pengawas untuk disemak dan mengelakkan berlakunya pengawas-pengawas yang berat sebelah ditugaskan di cabang-cabang lawan.

"Saya berharap perkara-perkara ini diambil serius, terutamanya yang melibatkan kod QR yang telah dicetak terlebih awal," katanya.

Rafizi kini berada 1,261 undi di belakang Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali bagi saingan jawatan timbalan presiden.

Azmin melebarkan jurang undinya selepas merah 4,978 undi berbanding Rafizi yang mendapay 4,385 undi dalam fasa kedua pemilihan PKR minggu lalu.



Zahid ajak Asyraf bersama-sama menentang musuh Umno



Zahid ajak Asyraf bersama-sama menentang musuh Umno

Datuk Ahmad Zahid Hamidi tidak memberi respons lanjut berhubung desakan Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi agar beliau bercuti ekoran terpalit dengan 45 pertuduhan baru-baru ini.

Zahid seolah-olah memberi gambaran bahawa beliau akan terus memimpin parti itu apabila
menegaskan bahawa Umno akan terus bersatu padu buat masa ini.

“Terima kasih atas pandangan Pemuda, saya raikan kepelbagaian pendapat.

“Namun yang penting marilah kita terus bergerak bersama untuk menentang musuh yang mahu menghancurkan Umno,” tweet beliau hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata Zahid wajar mengambil cuti seketika agar dapat memberi tumpuan kepada kesnya di mahkamah.

Ia berkaitan 45 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.

Menurut Asyraf, tidak adil untuk terus meletakkan tanggungjawab mengetuai Umno kepada Zahid di saat parti itu terus bergerak ke hadapan.

Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Maslan turut melontarkan pandangan tidak bersetuju dengan gesaan pemuda di tweeter.

Beliau turut menyenaraikan lima sebab Zahid perlu menjalankan tugas sebagai Presiden Umno kerana prosedur mengambil cuti jika berdepan dakwaan mahkamah hanyalah jika Umno masih memerintah.

Beliau juga berkata Zahid belum didapati bersalah dan pendakwaan terhadapnya berunsur politik dan beliau belum lagi didapati bersalah.

Proses mahkamah tidak akan berjalan setiap hari dan parti perlu terus bersamanya di saat susah dan senang, katanya lagi.

Bersihkan usahawan kroni dan alibaba



Bersihkan usahawan kroni dan alibaba

Dasar kerajaan mengenai kontraktor perlu diperketatkan dengan melakukan pembersihan usahawan palsu yang dahulunya mendapat projek atas asar kroni dan alibaba.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata, sebelum ini kontraktor mendapat kontrak bukan kerana kelayakan mereka tetapi mereka mendapat projek kerana kroni Umno dan alibaba.

“Saya yakin mereka masih wujud dengan meluas kerana mereka dimasukkan dalam senarai oleh menteri-menteri terdahulu, dan masih tiada pembersihan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Akibatnya, kata beliau, jika berlaku belian terus atau jemputan sebut harga terutama untuk kontrak-kontrak kecil, hanya kroni-kroni UMNO ini yang bersaing sesama mereka, kerana hanya mereka yang ada dalam senarai sekarang.

Katanya, dari segi kelayakan mereka hanyalah kroni Umno sahaja justeru, kerajaan perlu segera membersihkan kroni-kroni Umno ini agar usahawan tulen yang disisihkan sebelum ini dapat bersaing secara sihat.

“Kita telah memasuki era baru, dan usahawan Melayu yang tulen memang ramai yang boleh menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Apa yang perlu ialah memastikan wujudnya peluang sama rata kepada semua usahawan tulen agar wujud persaingan sihat, dan dikeluarkan usahawan palsu. Pembolotan kekayaan negara oleh kroni-kroni UMNO semua peringkat haruslah dihentikan,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir bersama Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Yusof dalam Konvensyen Usahawan Bumiputera Kedah, di Alor Setar 25 Oktober baru-baru ini.

Pelbagai isu ditimbulkan oleh hampir seribu usahawan-usahawan yang hadir, antara yang menarik perhatian beliau mengenai dasar kerajaan terhadap usahawan Bumiputera yang disuarakan oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Kedah Noordin Md Safar yang menggesa kerajaan memperketatkan pemberian kontrak kepada kontraktor Bumiputera.

Najib perlu buktikan punca dana RM2.6 bilion - Tun M

Wan Syamsul Amly, Astro Awani
Najib perlu buktikan punca dana RM2.6 bilion - Tun M
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Menara Yayasan Selangor, malam ini. - Foto BERNAMA
 
PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menjelaskan dari mana datangnya dana RM2.6 bilion yang dikatakan derma daripada kerajaan Arab Saudi kepada UMNO.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, paling penting bukti bertulis untuk mengenal pasti duit itu datang dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau sebaliknya.
 
"Apa yang lebih penting, bukti-bukti bertulis duit itu datang dari 1MDB atau tidak. Kamu tidak boleh memindahkan sejumlah wang yang besar tanpa rekod.

"Jika benar wang itu dari Saudi tentu ada rekod. Kalau wang itu bukan dari Saudi, kita perlu kenal pasti dari mana duit itu datang. Setakat yang kami tahu, duit itu datang dari 1MDB," katanya semasa sidang media selepas mesyuarat Bersatu di sini, hari ini.

BACA: Derma RM2.6 bilion tiada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi - Saifuddin

Pada Jumaat, Menteri Luar Arab Saudi, Adel Ahmed Al-Jubeir menyatakan derma RM2.6 bilion yang didakwa diterima Najib tiada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah selepas menerima kunjungan Adel di Wisma Putra. 
 
 

Jumaat, 26 Oktober 2018

PEMIMPIN PKR KEDAH DIREMAN SPRM

Wartawan Watan-Online



Seorang pemimpin PKR Kedah direman tujuh hari mulai hari ini, sehingga 31 Oktober hadapan bagi membantu siasatan dakwaan pembabitan politik wang dalam pemilihan pemimpin cabang parti itu baru-baru ini.

Perintah tahanan reman ke atas pemimpin berusia 59 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar, Jamaludin Elias selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, suspek bersama dua lagi lelaki berusia 46 dan 48 tahun yang sebelum ini turut ditahan SPRM Kedah pada bulan lalu, dipercayai meminta wang suapan berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan supaya namanya didaftarkan ke dalam sistem parti bagi melayakkannya bertanding pada pemilihan kali ini.

Suspek sebelum itu memaklumkan lelaki terbabit bahawa namanya dan beberapa individu lain akan digugurkan daripada sistem, namun boleh dikekalkan sekiranya membayar wang berkenaan.

Terdahulu, dia yang pernah menjadi calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, tiba di perkarangan Mahkamah Alor Setar sambil diiringi dua pegawai SPRM Kedah.

Difahamkan, pemimpin itu ditahan pada jam 4.10 petang semalam, di Pejabat SPRM Kedah selepas dia hadir menyerah diri di pejabat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi, mengesahkan reman ke atas suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.



UMNO BANGKIT : PIMPINAN UMNO MULA JELAJAH




Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan tertinggi parti akan mengadakan jelajah ke seluruh negeri bagi memperkukuhkan perpaduan sesama ahli di peringkat negeri, bahagian dan akar umbi.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata program jelajah seluruh negeri itu merupakan tindakan yang tepat selari dengan langkah yang digariskan oleh Presiden dalam pembentangan halatuju parti semasa Perhimpunan Agung UMNO 2018 tempoh hari.

“Program ini juga sejajar dengan usaha membangkitkan idealism perjuangan UMNO agar parti bangkit semula untuk terus mampu melaksanakan tanggungjawabnya sebagai parti rumpun Melayu terbesar di negara ini,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Menurut Anuar, di antara pengisian sepanjang program ialah pertemuan Ahmad Zahid dan saf pimpinan parti bersama pimpinan peringkat negeri dan UMNO Bahagian semua peringkat selain ceramah mengenai isu semasa oleh tokoh dalam pelbagai bidang.

Beliau turut menyeru anggota parti untuk turut sama menjayakan program ini bagi menggerakkan agenda parti untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) akan datang.

“Untuk itu segala usaha kini perlu difokuskan bagi memastikan UMNO terus kukuh dan mendapat keyakinan serta sokongan rakyat.

“Ahli UMNO perlu bersama-sama presiden dan saf kepemimpinan parti menggerakkan program dan kegiatan untuk membela nasib rakyat di seluruh negara,” ujar beliau.

Program jelajah kepimpinan UMNO ini akan bermula di negeri Terengganu pada 26 Oktober dan dijangkakan berakhir di negeri Kelantan.


PKR DIGESA GANTUNG RAFIZI – BADRUL HISHAM




PKR digesa menggantung keahlian Rafizi Ramli susulan dakwaan calon Timbalan Presiden itu bahawa pemilihan parti dicemari politik wang.

Bekas Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin berkata, dirinya pernah dikenakan tindakan disiplin selepas mendakwa berlaku penyelewengan dalam pemilihan parti pada 2014.

“Adakah pimpinan pusat PKR lakukan tindakan terpilih? Agak pelik kenapa Rafizi tidak dikenakan tindakan. Adakah berlaku campur tangan supaya Rafizi tidak dikenakan tindakan?

“Dahulu saya bangkitkan isu sama dan saya telah dikenakan tindakan dengan alasan saya telah malukan parti,” katanya kepada Watan Online pada Jumaat.

Sebelum ini Rafizi mendakwa politik wang dilihat semakin membimbangkan pada musim pemilihan PKR.

Beliau berkata ahli parti perlu menolak calon yang mengamalkan budaya itu dan memilih calon yang berlaku adil, berkhidmat dan berjuang untuk rakyat di akar umbi.

Rafizi berkata antara sebab utama beliau mengambil keputusan bertanding jawatan timbalan presiden parti adalah kerana untuk membendung budaya politik wang daripada terus merebak dalam PKR.


1MDB: KERAJAAN PH MAHU LUNAS DENDAM – NAJIB




Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pendendam berhubung pendakwaan terhadapnya membabitkan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Esok sekali lagi saya akan didakwa oleh SPRM, yang tidak pernah berlaku di mana-mana negara yang kerajaannya terlalu pendendam.

“Saya menerima hakikat didakwa berkaitan 1MDB dan ia adalah kuasa kerajaan untuk mendakwa saya mengikut kehendak mereka,” kata bekas Perdana Menteri itu pada Rabu.

Bagaimanapun kata Najib, setiap sen wang 1MDB adalah dari pinjaman dan adalah tidak masuk akal jika beliau berniat untuk mencuri wang yang dipinjam dan diletakkan dalam akaun atas namanya sendiri.

“Saya tahu akan dapat menghadapi pendakwaan ini di mahkamah dengan mudah, namun pada masa ini saya ingin bertanya akan kejujuran kerajaan PH.

“Mereka perlu melihat pada gambaran lebih besar untuk menyelesaikan isu 1MDB, hentikan mainan politik, jujur dengan semua rakyat Malaysia, pastikan ekonomi dan rakyatnya diutamakan, bukannya berterusan menjadikan lawan politik mereka sebagai keutamaan, siang dan malam,” katanya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi satu kenyataan media hari ini memberitahu Najib, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, akan didakwa di mahkamah atas kesalahan pecah amanah esok.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat dan Pemantau Prestasi Kerajaan, Datuk Lokman Noor Adam dalam kenyataannya meminta semua rakyat Malaysia yang menolak penganiayaan ke atas Najib serta Mohd Irwan untuk hadir beramai-ramai bagi menyatakan #Solidariti4NajibRazak dan #Solidariti4IrwanSerigar.

“Jangan biarkan penganiayaan demi penganiayaan terus dilakukan atas bekas pemimpin dan penjawat awam negara ini,” katanya.


Usah dilayan Lokman Adam - Asyraf Wajdi

 
   

Datuk Asyraf Wajdi Dusuki enggan melayan tuntutan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Lokman Noor Adam supaya beliau meletakkan jawatan sebagai ketua pemuda.

Bercakap kepada Malaysiakini, Asyraf mempersoalkan kelayakan Lokman untuk membuat gesaan tersebut.

"Tanya dia (Lokman) balik, dia pemuda (Umno) ke? Tak apalah, tak perlu layan sangatlah dia tu.

"Keputusan yang dibuat semalam bukan datang daripada saya seorang, sebaliknya sebulat suara dalam mesyuarat semalam dan saya tetap dengan pendirian itu," katanya.

Kritikan keras Lokman itu dibuat selepas Asyraf semalam menggesa Zahid supaya bercuti kerana berdepan pertuduhan di mahkamah.

Perkara itu diumumkan selepas mesyuarat pemuda Umno di ibu negara semalam.

Tidak puas hati dengan perkara itu, Lokman membuat gesaan balas dengan menuntut Asyraf meletakkan jawatan dan menyifatkannya sebagai ketua pemuda yang gagal.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad Hassan memberitahu pemberita bahawa Umno mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang memerlukan pemimpin tertinggi bercuti jika berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.

Minggu lalu, Ahmad Zahid didakwa dengan 45 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.

Malaysiakini juga sedang cuba mendapatkan reaksi sayap-sayap Umno lain ekoran kenyataan Asyraf itu.


Ajak Dr M pulang ke Umno bukan pelawaan nakal, kata Annuar

MALAYSIAKINI


   

Tan Sri Annuar Musa berkata seruannya agar Tun Dr Mahathir Mohamad kembali kepada Umno bukanlah 'pelawaan nakal' tetapi demi kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

"Ada yang kata jemputan saya kepada Mahathir dan anggota BERSATU sertai Umno sebagai nakal.

"Politik bukan untuk bernakal-nakal. Saya berfikir dari sudut politik serta kepentingan Melayu dan Islam yang menjadit teras kepada Umno dan BERSATU," katanya di Twitter hari ini.

Beliau berkata talian hayat Mahathir sebagai perdana menteri tidak harus diletakkan di tangan "musuh", sambil membangkitkan bahawa BERSATU - parti yang dipimpin Mahathir - hanya memegang 13 daripada 126 kerusi di Dewan Rakyat.

Ia menjadikan BERSATU sebagai parti yang lebih kecil berbanding PKR dan DAP dari segi bilangan kerusi di Parlimen.

Umno pula menguasai 49 kawasan parlimen, menjadikannya sebagai parti pembangkang terbesar di Dewan Rakyat.

Annuar yang merupakan setiausaha agung Umno membuat pelawaan itu pada 24 Oktober lalu sebagai maklum balas kepada Mahathir yang dilaporkan mempelawa anggota Umno untuk menyertai parti serpihan itu.

Ketika itu Annuar berkata masih ramai anggota Umno termasuk dirinya sendiri yang menyayangi dan menghormati Mahathir, yang pernah menjadi presiden paling lama parti itu.

"Umat Melayu dan Islam akan lebih bersyukur kiranya ini terjadi. Sirih pulang ke gagang, belut pulang ke lumpur," katanya.

Keesokannya Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan kenyataan Annuar itu sebagai pelawaan nakal dan "tak berapa logik".

Ini kerana pelawaan itu bermakna seorang yang mempengerusikan sebuah parti dalam kerajaan akan menyertai parti pembangkang, katanya yang juga menteri besar Kedah.

BERSATU ditubuhkan pada 8 September 2016 oleh barisan bekas pemimpin Umno yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan presiden ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, terutama berkaitan isu 1MDB.