HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 Oktober 2018

Kedah sedia pinda undang-undang tubuh had penggal menteri besar

 
 


ALOR SETAR: Kerajaan negeri sedia meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah bagi membolehkan tempoh perkhidmatan jawatan menteri besar dihadkan kepada 2 penggal.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata pelaksanaannya akan dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri bagi mereformasikan sistem politik.

“Sebenarnya, perkara ini telah dibincang sewaktu rangka manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya, jadi ia bukan perkara yang baharu. Kami alu-alukan cadangan tersebut kerana boleh beri peluang kepada orang baharu dengan idea yang lebih segar,” katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan PPBM Jerlun hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 di Dewan Rakyat berhubung cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri selama 2 penggal.

Mukhriz berharap setiap pertukaran di kalangan pemimpin tertinggi dalam kerajaan tidak akan memberi kesan kepada dasar sedia ada kerana ia merugikan masa dan sumber.

“Saya harap ada kesinambungan kalau berlaku pertukaran. Jangan kerana hanya tukar menteri besar, dasar pun sekali bertukar dan berubah kerana itu tidak sepatutnya berlaku kerana dasar dibuat bukan untuk tempoh 3, 4 tahun tetapi 10, 20, 30 tahun jadi akan rugi masa,” katanya.

Sementara itu, beliau menafikan khabar angin berhubung pembatalan pembinaan Hospital Pendang, sebaliknya memaklumkan kerajaan persekutuan bersedia untuk meneruskan pembinaan hospital terbabit walaupun berdepan kekangan kewangan.

Ditanya mengenai isu kereta rasmi menteri besar yang baharu yang viral di laman sosial baru-baru ini, Mukhriz berkata beliau membuat keputusan untuk melupuskan beberapa kereta lama yang dimiliki di bawah nama pejabat menteri besar.

“Banyak kenderaan yang lama-lama disimpan, duduk sahaja tak buat apa dan banyak yang rosak tak boleh pakai jadi saya buat keputusan mana-mana kereta yang terlampau lama kita lupuskan dan ganti dengan sebuah kereta baharu jenama asing yang dipasang di Malaysia.

“Kita gantikan dengan kereta hybrid maksudnya yang jenis bateri harga tidak terlalu mahal dan saya fikir ini cara kita buktikan kepada rakyat bahawa kerajaan prihatin soal alam sekitar. Saya lupuskan 2 biji kereta untuk gantikan dengan kereta ini jadi tak adalah belanja banyak sangat,” katanya.

Tiada ulasan: