HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Oktober 2018

UMNO BANGKIT : PIMPINAN UMNO MULA JELAJAH




Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan tertinggi parti akan mengadakan jelajah ke seluruh negeri bagi memperkukuhkan perpaduan sesama ahli di peringkat negeri, bahagian dan akar umbi.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata program jelajah seluruh negeri itu merupakan tindakan yang tepat selari dengan langkah yang digariskan oleh Presiden dalam pembentangan halatuju parti semasa Perhimpunan Agung UMNO 2018 tempoh hari.

“Program ini juga sejajar dengan usaha membangkitkan idealism perjuangan UMNO agar parti bangkit semula untuk terus mampu melaksanakan tanggungjawabnya sebagai parti rumpun Melayu terbesar di negara ini,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Menurut Anuar, di antara pengisian sepanjang program ialah pertemuan Ahmad Zahid dan saf pimpinan parti bersama pimpinan peringkat negeri dan UMNO Bahagian semua peringkat selain ceramah mengenai isu semasa oleh tokoh dalam pelbagai bidang.

Beliau turut menyeru anggota parti untuk turut sama menjayakan program ini bagi menggerakkan agenda parti untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) akan datang.

“Untuk itu segala usaha kini perlu difokuskan bagi memastikan UMNO terus kukuh dan mendapat keyakinan serta sokongan rakyat.

“Ahli UMNO perlu bersama-sama presiden dan saf kepemimpinan parti menggerakkan program dan kegiatan untuk membela nasib rakyat di seluruh negara,” ujar beliau.

Program jelajah kepimpinan UMNO ini akan bermula di negeri Terengganu pada 26 Oktober dan dijangkakan berakhir di negeri Kelantan.


Tiada ulasan: