SUNGAI PETANI – Seramai 40 pelajar sekolah menengah dikesan terlibat jenayah bermula Januari hingga Oktober 2018 di mana lapan daripadanya berumur 13 hingga 15 tahun dan selebihnya berumur 16 hingga 18 tahun.

Ketua Polis Kedah, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, bagi statistik kesalahan dadah pula, seramai 17 pelajar ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah narkotik bagi tempoh Januari hingga September 2018 seperti memiliki dadah dan positif ujian air kencing.

'Walaupun angka berkenan agak kecil namun sekiranya tidak ditanggani segera, jumlah berkenaan boleh meningkat sekaligus merosakkan institusi pendidikan negara,” katanya kepada media ketika merasmikan Program Kepolisian Komuniti bersama warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim Sungai Petani.

Menurutnya, antara kes jenayah membabitkan pelajar termasuklah gangsterisme, pergaduhan dan curi motosikal.

“Gangsterisme di Kedah bukanlah ketara kerana ada satu, dua sekolah sahaja dipantau termasuk di Sungai Petani dan Kulim berkaitan cubaan pelajar nak masuk kumpulan itu,” katanya.

Dalam perkembangan berbeza, katanya, penganjuran Program MyIndah 19 yang menyasarkan 19 buah sekolah menengah antara kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan kejayaan memberangsangkan.

“Kita mula Program MyIndah 19 sejak 2016 dan memang ketara penurunannya. Sebenarnya kita mengesan dalam 60 sekolah terlibat tetapi selepas dikenal pasti, ada 19 sekolah sahaja lagi yang tinggal.

“Objektif utama ialah memulihkan disiplin pelajar yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau menjelaskan, Program MyIndah 19 dilaksanakan melalui ujian saringan air kencing ke atas pelajar yang dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Selepas itu, kita bersemuka dengan ibu bapa dengan bantuan AADK, guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru untuk memberi pendedahan kepada keluarga, kadang-kadang mereka tidak diberi pendedahan berkaitan penglibatan anak-anak dalam dadah,” katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan wujudnya penglibatan pelajar dalam kegiatan pengedaran dadah di negeri ini.

Katanya, terdapat pelbagai faktor yang mendorong pelajar terlibat jenayah termasuk faktor persekitaran yang terpengaruh dengan kumpulan samseng dan kongsi gelap selain inginkan perhatian dan kemewahan,  kurang perhatian kawalan keluarga dan kasih sayang.

“Pengaruh desakan oleh kumpulan rakan dalam mengejar kemewahan hidup dengan mengamalkan gaya hidup mewah telah mendorong pelajar melakukan perkara tidak sepatutnya seperti kecurian, pecah rumah, ragut dan samun.

“Mereka yang terlibat dalam kecurian kenderaan khususnya motosikal bertujuan untuk berseronok serta mendapatkan alat ganti yang tidak mampu dibeli untuk aktiviti merempit,” katanya.

Dalam majlis sama, warga IPG dan peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah dipersembahkan dengan pertunjukkan T Baton dan demonstrasi K9 oleh pasukan PDRM.