Tan Sri Annuar Musa berkata seruannya agar Tun Dr Mahathir Mohamad kembali kepada Umno bukanlah 'pelawaan nakal' tetapi demi kepentingan orang Melayu dan agama Islam.
"Ada yang kata jemputan saya kepada Mahathir dan anggota BERSATU sertai Umno sebagai nakal.
"Politik bukan untuk bernakal-nakal. Saya berfikir dari sudut politik serta kepentingan Melayu dan Islam yang menjadit teras kepada Umno dan BERSATU," katanya di Twitter hari ini.
Beliau berkata talian hayat Mahathir sebagai perdana menteri tidak harus diletakkan di tangan "musuh", sambil membangkitkan bahawa BERSATU - parti yang dipimpin Mahathir - hanya memegang 13 daripada 126 kerusi di Dewan Rakyat.
Ia menjadikan BERSATU sebagai parti yang lebih kecil berbanding PKR dan DAP dari segi bilangan kerusi di Parlimen.
Umno pula menguasai 49 kawasan parlimen, menjadikannya sebagai parti pembangkang terbesar di Dewan Rakyat.
Annuar yang merupakan setiausaha agung Umno membuat pelawaan itu pada 24 Oktober lalu sebagai maklum balas kepada Mahathir yang dilaporkan mempelawa anggota Umno untuk menyertai parti serpihan itu.
Ketika itu Annuar berkata masih ramai anggota Umno termasuk dirinya sendiri yang menyayangi dan menghormati Mahathir, yang pernah menjadi presiden paling lama parti itu.
"Umat Melayu dan Islam akan lebih bersyukur kiranya ini terjadi. Sirih pulang ke gagang, belut pulang ke lumpur," katanya.
Keesokannya Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan kenyataan Annuar itu sebagai pelawaan nakal dan "tak berapa logik".
Ini kerana pelawaan itu bermakna seorang yang mempengerusikan sebuah parti dalam kerajaan akan menyertai parti pembangkang, katanya yang juga menteri besar Kedah.
BERSATU ditubuhkan pada 8 September 2016 oleh barisan bekas pemimpin Umno yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan presiden ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, terutama berkaitan isu 1MDB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan