HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Oktober 2018

PEMILIHAN PKR SELANGOR TERUS CETUS PERGADUHAN



Pemilihan PKR di cabang sekitar Selangor hari ini sekali lagi panas dengan insiden pergaduhan dalam kalangan penyokongan calon yang bertanding.

Insiden kekecohan berlaku di dua daripada enam cabang PKR Selangor pada fasa kedua proses pemilihan yang berlangsung hari ini.

Beberapa rakaman video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan pertelingkahan yang dipercayai berlaku antara penyokong kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Ia membabitkan pemilihan PKR di Cabang Puchong dan Gombak.

Beberapa pegawai polis juga dilihat terpaksa campur tangan di kawasan kejadian bagi mengawal situasi.

Di Gombak, sumber di lokasi mendakwa, kekecohan tercetus selepas seorang remaja berusia 20-an berang apabila bapanya ditolak oleh beberapa individu.

Menurut sumber, kira-kira jam 12.30 tengah hari kekecohan bermula apabila calon ketua cabang dihalang masuk dan rentetan daripada insiden itu menyebabkan berlaku tolak menolak.

“Bapa remaja itu kena tolak, dia pun naik angin. Selepas itu, datang penyokong tidak pasti siapa mula menumbuk… sampai teruk.

“Selepas itu, polis masuk campur. Remaja ini terus kena angkat (tangkap) dengan polis. Saya nampak dia kena angkat (bawa) ke belakang,” dakwa sumber.

Sumber polis memberitahu tiada tangkapan dibuat pada pemilihan PKR Cabang Gombak.

Di Puchong pula, kira-kira jam 2.30 petang tadi berlaku kekecohan dipercayai tercetus antara dua kumpulan penyokong bermula di pintu masuk utama pusat pengundian di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Seri Kembangan.

Dipercayai berlaku tolak menolak antara penyokong dan pengundi sehingga menyebabkan ada beberapa daripada mereka jatuh dan terhimpit.

Pasukan Light Strike Force (LSF) dan beberapa pihak polis berada di tempat kejadian bagi mengawal keadaan serta keselamatan di MPSJ.


Tiada ulasan: