HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Oktober 2018

3 cadangan Rafizi untuk tambah baik sistem e-undi PKR

MALAYSIAKINI

    PEMILIHAN PKR | Menjelang fasa ketiga pemilihan PKR di Selangor Ahad ini, calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menggesa jawatankuasa pemilihan partinya segera melaksanakan penambahbaikan pada sistem e-undi.

"Oleh kerana Cabang Pandan akan melalui proses pengundian pada hari Ahad, 28 Oktober 2018 ini dan ia cabang yang dijangka panas, saya mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan beberapa penambahbaikan yang boleh dilaksanakan segera," kata Rafizi dalam suratnya kepada jawatankuasa pemilihan pusat dan jawatankuasa aduan dan rayuan pemilihan pusat.

Cadangan pertama Rafizi adalah melarang pengeluaran kod QR berdasarkan nombor kad pengenalan jika pengundi itu tidak hadir.

Rafizi mendakwa dia mendapat banyak aduan wujudnya pengundi-pengundi yang membawa beberapa kad pengenalan orang lain dan mengundi bagi pihak orang lain.

Bekas anggota parlimen Pandan itu juga mendakwa telah berjumpa sendiri dengan sekumpulan anak muda yang mengaku dibayar untuk melakukan perkara itu.

Cadangan Rafizi yang kedua adalah, menetapkan untuk hanya membenarkan pengundi dengan kod QR yang dicetak pada hari pengundian untuk mengundi.

Kod QR dikeluarkan oleh pegawai pemilihan PKR kepada pengundi yang kemudian akan digunakan pada tablet untuk mengakses sistem e-undi.

Surat Rafizi itu juga turut disertakan dengan gambar kod QR bagi cabang Pandan yang dicetak pada hari Rabu lalu.

Sementara itu, cadangan ketiga yang dikemukakan Rafizi untuk penambahbaikan pemilihan adalah agar jawatankuasa pemilihan memaklumkan pengawas untuk disemak dan mengelakkan berlakunya pengawas-pengawas yang berat sebelah ditugaskan di cabang-cabang lawan.

"Saya berharap perkara-perkara ini diambil serius, terutamanya yang melibatkan kod QR yang telah dicetak terlebih awal," katanya.

Rafizi kini berada 1,261 undi di belakang Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali bagi saingan jawatan timbalan presiden.

Azmin melebarkan jurang undinya selepas merah 4,978 undi berbanding Rafizi yang mendapay 4,385 undi dalam fasa kedua pemilihan PKR minggu lalu.



Tiada ulasan: