KUALA LUMPUR - "Anggaran jumlah 310,000 orang gay dalam negara masih belum dimuktamadkan Kementerian Kesihatan Malaysia," kata Penolong Pengarah (Kanan) Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kebajikan Islam (Jakim) Dr Mohd Izwan Md Yusof.

Beliau berkata bagaimanapun Jakim akan terus komited memberikan penerangan dan bimbingan terhadap komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) terutamanya golongan gay yang ingin kembali ke pangkal jalan.

"Pintu sentiasa terbuka di Jakim untuk golongan LGBT terutamanya golongan gay bagi mendapatkan bimbingan kerana seseorang yang dilabel sebagai gay tidak semestinya suka terhadap hubungan sesama jenis,” katanya dalam satu kenyataan yang diterima menerusi aplikasi Whatsapp di sini hari ini.

Katanya, gay menurut definisi adalah seorang lelaki yang tertarik kepada sesama sejenis dari sudut seksual, jadi tidak adil jika dilabelkan mereka suka terhadap seks sesama lelaki kerana mungkin mereka hanya tertarik dari sudut romantik atau bentuk fizikal lelaki lain sahaja.

"Justeru Jakim komited untuk mendidik mereka melalui program berbentuk seminar dan mukhayyam (perkhemahan) supaya kita dapat memantapkan kerohanian mereka," katanya.

Katanya, Jakim turut menyeru masyarakat untuk sama-sama mengukuhkan institusi kekeluargaan dan pemantauan perilaku anak-anak perlu dilakukan secara berterusan di samping memberikan pendidikan agama sebaik mungkin.

Semalam Jakim yang mendedahkan ada kira-kira 310,000 golongan gay tahun ini, berbanding 173,000 lima tahun lalu.

Isu berkenaan didedahkan menerusi seminar kesedaran mengenai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) anjuran Jaim di Pulau Pinang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mendakwa tidak semua golongan gay dan transgender dalam negara terbabit dalam hubungan songsang.

Beliau dipetik sebagai berkata, masyarakat tidak boleh membuat kesimpulan berdasarkan rekod yang didedahkan Jakim.

Mujahid berkata seminar berkenaan antara lain bertujuan memberi penerangan kepada orang ramai, sekali gus menangani isu itu secara proaktif.  –Bernama