THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) 2016-2020 di Dewan Rakyat.
Dr Mahathir yang memakai sut biru, diiringi anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tiba di perkarangan Dewan Rakyat kira-kira 3.50 petang.
Sesi pembentangan usul berkenaan dibuat sejurus persidangan Dewan Rakyat yang berhenti rehat bersambung kembali pukul 4 petang.
Pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK11 2016-2020 yang turut disiarkan secara langsung menerusi beberapa stesen televisyen dan radio tempatan itu dibuat di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Yusof.
Kajian pelan pembangunan itu akan mengandungi pelaksanaan dasar baharu serta dasar sedia ada yang ditambah baik dengan tumpuan utama dijangka menjurus kepada pembangunan infrastruktur untuk kemudahan rakyat.
RMK11 yang masih berbaki kira-kia dua tahun merupakan rancangan pembangunan lima tahun (2016-2020) terakhir ke arah merealisasikan matlamat Wawasan 2020.
Ia pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia kali pertama kerajaan baharu Pakatan Harapan sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negara susulan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mac lalu mengakhiri dominasi lebih 60 tahun Barisan Nasional.
Namun, ia bukan pembentangan kali pertama buat perdana menteri ketujuh itu yang kini berumur 93 tahun itu.
Kali terakhir Dr Mahathir membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia di Dewan Rakyat ialah pada 31 Okt 2003, iaitu dengan membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), mengakhiri tugasan beliau sebagai perdana menteri, jawatan yang dipegang beliau selama 22 tahun.
Dr Mahathir melepaskan kesemua jawatannya dalam kerajaan kepada timbalannya, Datuk Seri (Tun) Abdullah Ahmad Badawi.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan