MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK
HALAMAN SANTAI
Isnin, 22 Oktober 2018
Hadi Awang malukan politik Islam – Kit Siang
Oleh Lim Kit Siang
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memalukan politik
Islam apabila gagal menyahut cabaran saya untuk membuktikan tuduhannya
bahawa DAP mendiskriminasi negeri-negeri di Pantai Timur dengan
menentang pembangunan setara di Terengganu dan Kelantan dalam tempoh 48
jam.
Saya diingatkan mengenai kongres tahunan ABIM ke-47 di
Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai yang bertemakan "Visi Islam
dalam aspirasi Malaysia Baharu" dan ucap utama oleh Profesor Datuk Dr
Siddiq Fadzil mengenai "Malaysia Baharu dan Kesinambuangan Reformasi
Islahiy".
Dr Siddiq (atas)
ketika itu menegaskan bahawa prasyarat untuk membina sebuah Malaysia
Baru adalah dengan melaksanakan "transformasi budaya dan manusia".
Beliau bercakap mengenai "nilai malu" yang digambarkannya sebagai "nilai teras pengajaran Islam".
Beliau berkata:
“Sifat
malu adalah kekuatan moral yang dapat mengawal seseorang daripada
melakukan perbuatan keji. Sifat malu juga adalah ciri orang bermaruah.
Justeru, orang bermaruah malu berperi laku tidak bermoral, malu
melakukan korupsi, malu menganggotai organisasi korup, malu di perintah
kerajaan korup, malu dipimpin ketua korup, malu ditipu dan diperbodoh,
malu menjadi bangsa yang ketinggalan, malu negaranya desebut kleptocracy at its worst.”
Dr
Siddique bercakap tentang "defisit moral" dan kematian idealisme dalam
politik, yang menimbulkan banyak masalah politik moden termasuk politik
pembohongan, kepalsuan dan berita palsu.
Pelaku
politik pembohongan, kepalsuan dan berita palsu paling besar hari ini
tidak lain dan tidak bukan adalah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump
(atas). Dr Siddique merujuk laporan Washington Post yang
mendedahkan Trump membuat 2,140 tuduhan palsu atau mengelirukan pada
tahun pertama pentadbiran - purata hampir 5.9 setiap hari.
Dr
Siddique membuat kesimpulan: “Kebenaran harus diselamatkan segera
sebelum terkubur dalam politik bohong. Untuk itu Malaysia Baharu harus
mengamalkan politik moral yang komited terhadap misi pendaulatan nilai
kebenaran dan kejujuran.”
Ucapan Dr Siddique menyentuh perasaan saya, kerana selama beberapa dekad, saya telah menjadi momokan dan berita palsu.
Pada
akhir kempen yang telah lama dirancang saya digambarkan sebagai setan,
puaka, bahkan jembalang; bahawa saya anti-Melayu, anti-Islam; pencetus
rusuhan 13 Mei 1969; komunis; tali barut asing asing; ejen kuasa asing
termasuk CIA, KGB, MI5 dan Perisikan Rahsia Australia.
Saya juga
dituduh menerima RM1 bilion daripada Mahathir, RM100 juta daripada
hartawan Robert Kuok dan lebih RM1.2 bilion daripada sumber Israel untuk
membiayai pilihan raya umum ke-13; diberi RM40 juta untuk sebuah portal
berita dan menawarkan Hadi RM100 juta untuk menentang Sultan Selangor.
Saya
dituduh menguasai dan mengerakkan Pakatan Harapan; menjadikan pemimpin
lain seperti Tun Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri
Wan Azizah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Azmin Ali, Mohamad Sabu
dan Husam Musa sebagai tali barut dan boneka.
Tuduhan-tuduhan pada saya
Saya
dituduh mahu menjadi perdana menteri apabila Pakatan Harapan menang
pilihan raya umum ke-14; mahu membubarkan Rejimen Melayu dan memusnahkan
hubungan Malaysia-China, dan pelbagai lagi berita palsu, maklumat palsu
dan pembohongan.
Ada juga yang mendakwa pada 3 Disember 2016,
saya mengadakan pertemuan rahsia dengan Tun Mahathir Mohamad dan membuat
perjanjian bahawa selepas pilihan raya umum ke-14, Mukhriz Mahathir
akan menjadi perdana menteri dan saya timbalan perdana menteri.
Hakikatnya,
tidak ada sebarang pertemuan berlangsung antara saya dan Mahathir pada 3
Disember 2016 dan dalam pelbagai pertemuan antara saya dan Mahathir
sebelum pilihan raya umum ke-14, kami tidak pernah berbincang tentang
calon perdana menteri atau timbalan perdana menteri!
Sebahagian
pencetus pembohongan, kepalsuan dan berita palsu ini telah mereka cipta
kisah baru bagi menyerang saya dan DAP, seperti kisah temberang yang
tular baru-baru ini, yang menuduh saya kononnya membuat cadangan supaya
Semenanjung Malaysia dibahagikan kepada dua, Pantai Timur untuk orang
Melayu dan Pantai Barat untuk orang Cina, selepas pilihan raya umum Mei
1969 .
Bagaimanapun, "Jelajah Raya di Pantai Timur" yang saya
sertai di Pahang, Terengganu dan Kelantan pada Julai tahun lepas telah
membuktikan dan mengesahkan apa yang saya sering percaya - bahawa
pembohongan dan kepalsuan yang menjadi teras kempen jahat Umno terhadap
saya dan pemimpin DAP, yang menggambarkan kami sebagai anti-Melayu dan
anti-Islam, tidak mampu menarik minat majoriti orang Melayu dan Islam.
Ini
kerana mereka berfikiran rasional dan tidak mudah diperbodohkan untuk
mempercayai pembohongan, berita palsu dan maklumat palsu yang disebarkan
oleh kilang propaganda dusta dan kepalsuan yang digerakkan Umno.
Persoalannya
mengapa presiden PAS mahu menjadi Trump versi Malaysia dengan menuduh
DAP mendiskriminasi negeri-negeri di Pantai Timur dengan menentang
pembangunan setara bagi Terengganu dan Kelantan?
Saya yakin, sama
seperti kegagalan dakyah pembohongan, kepalsuan dan berita palsu yang
dilakukan Umno terhadap DAP dengan tuduhan anti-Melayu dan anti-Islam,
begitu juga pembohongan, kepalsuan dan berita palsu yang dilemparkan
oleh Hadi terhadap DAP dengan tuduhan anti-Melayu dan anti-Islam akan
turut menemui nasib yang serupa.
Kedua-dua pemimpin Umno dan PAS
nampaknya tidak menyedari bahawa kita kini berada di era maklumat, era
di mana maklumat bergerak pantas.
Dan mereka memperjuangkan
sesuatu yang boleh disifatkan sebagai sia-sia apabila menganggap orang
Melayu begitu mudah terpedaya dan seterusnya menjadi mangsa pembohongan,
kepalsuan dan berita palsu yang dilemparkan oleh propagandis Umno dan
PAS.
Najib
dan Hadi harus berhenti bermimpi dan menyedari bahawa orang Melayu
hidup dalam dekad kedua abad ke-21, dan bukan pada dekad pertama abad
ke-15! *LIM KIT SIANG ialah anggota parlimen Iskandar Puteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan