HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Oktober 2018

Menteri: Kenaikan tarif elektrik bukan cara promosi agenda hijau

 
   

Kerajaan tidak akan melayan sebarang gesaan untuk menaikkan tarif elektrik sebagai sebahagian daripada agenda mempromosikan penggunaan tenaga yang efisien di Malaysia.

Menurut Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin, ada banyak lagi cara lebih berkesan yang dapat dilaksanakan untuk mencapai matlamat itu, tanpa membebankan rakyat.

"Cadangan menaikkan tarif tidak akan diterima oleh saya," katanya ketika sesi townhall berhubung penggunaan tenaga yang efisien, di Kuala Lumpur hari ini.

"Saya yakin agenda teknologi hijau kita boleh berjalan seiring dengan (kadar) elektrik yang tidak membebankan," katanya lagi.

Beliau menjawab cadangan peserta sesi itu bahawa kerajaan patut menimbang untuk mengurangkan subsidi dalam tarif elektrik dan memperkenalkan kadar baru yang mencerminkan kos sebenar pembekalan tenaga.

Mengulas lanjut, Yeo berkata beliau menerima cadangan serupa daripada pemain industri iaitu pelaksanaan "tarif yang mencerminkan kos" di pelbagai sektor.

Menolak cadangan itu, beliau berkata kenaikan tarif hanya akan membebankan pegguna daripada golongan berpendapatan rendah.




"Di saat anda mendapat sedikit manfaat, anda memberi banyak kesukaran kepada golongan di bawah.

"Apa yang saya harap adalah tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga tidak akan ke arah itu."

Pada masa sama, Yeo berkata mungkin ada "sebab tak dapat dielakkan" bagi kenaikan tarif elektrik, memandangkan Malaysia sangat bergantung kepada bahan api fosil, justeru juga bergantung kepada harga minyak global.

"Tetapi kita tidak akan menyusahkan rakyat hanya kerana kita mahu membawa agenda teknologi hijau," katanya lagi.

Ketika sidang media selepas itu, Yeo sekali lagi menegaskan perkara sama - kenaikan tarif tidak termasuk dalam usaha mempromosikan kecekapan penggunaan tenaga.

"Kita tak boleh kata 'mari naikkan tarif agar rakyat kurang guna elektrik'. Ia tidak akan berjaya," katanya lagi.

Terdahulu, beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan RM114 juta bagi subsidi surcaj elektrik untuk 81.7 peratus pengguna domestik pada Julai hingga Disember tahun ini.


Tiada ulasan: