HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Oktober 2018

IBR bukan jaminan tidak didakwa jika ambil rasuah – SPRM

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA KANGSAR: Pihak yang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) tidak mempunyai imuniti atau kebal daripada didakwa jika terlibat rasuah.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Pencegahan) Ahmad Shukri Mohamad Taib menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sesiapa saja termasuk kakitangan awam yang melakukan kesalahan tersebut.

“Tidak semestinya apabila seseorang itu menandatangani IBR mereka tidak boleh disiasat dan didakwa. Tidak ada imunisasi atau kekebalan pada IBR. Kita akan siasat apabila ada laporan mengenai rasuah,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani IBR membabitkan 25 anggota Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan 20 pegawai MPKK di sini, hari ini.

MPKK menjadi majlis perbandaran yang ketiga di Perak menandatangani IBR selepas Majlis Perbandaran Manjung dan Majlis Perbandaran Taiping.

Selain itu, Ahmad Shukri berkata SPRM negeri Perak mengambil pendekatan untuk memberi penerangan kepada pelajar sekolah tentang bahaya rasuah.

Beliau berkata pihaknya telah melaksanakan dua program iaitu Sahabat Celik dan Wira Anti Rasuah di tiga buah sekolah di Perak tahun ini.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKK Datuk Shahrom Abd Malik berkata pihaknya bercadang menambah lot parkir di dua jalan di bandar ini iaitu Jalan Daeng Selili dan Jalan Raja Chulan di sini tidak lama lagi.

Beliau berkata penambahan lot itu membabitkan hampir 300 lot parkir bertujuan mengelak kesesakan dan memastikan pengguna tidak meletakkan kenderaan sesuka hati.

Selain itu, Shahrom berkata seramai 7,000 peserta akan menyertai larian sempena Hari Keputeraan Sultan Perak yang akan diadakan pada 11 Nov ini di sini.

Katanya larian sejauh 15 kilometer itu akan menampilkan kelainan berbanding sebelum ini apabila penganjur menggunakan beberapa laluan baharu seperti melalui kawasan kampung, sawah, kebun kelapa sawit, Sayong dan persisiran Sungai Perak.– Bernama

Tiada ulasan: