HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Oktober 2018

Perubahan isu kaum dan agama menurut Anwar

 
   

Enam puluh tahun dekad pentadbiran BN, sehinggalah bulan-bulan awal 'Malaysia baru', soal kaum dan agama kekal menjadi antara rencah utama dalam politik.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bermula sebagai aktivis mahasiswa dan meningkat naik ketika memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1970-an, mengulas perkara itu - menurut sisi pandangan beliau tentunya - ketika berucap di muktamar ke-47 pertubuhan itu hari ini.

Bagi Anwar, isu berhubung kaum dan agama - walaupun kekal sebagai perkara utama - berubah-ubah seperti 'pendulum' (bandul).

"Jika dulu, nak jadi (pemerintah) di Malaysia anda mesti seorang ekstrem (dalam soal) Melayu.

"Sekarang ini pula, langsung tak boleh sebut tentang kepentingan bahasa dan agama (jika mahu dianggap sebagai pemimpin). Ia seperti pendulum," katanya di Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan hari ini.

Memetik FMT 25 September lalu, presiden PKR itu sebelum ini pernah mengkritik golongan yang digelarnya sebagai 'super liberal' yang menurutnya hanya mahukan pandangan mereka sendiri didengar.

Anwar ketika itu berkata beliau menerima serangan tanpa henti daripada golongan itu yang tidak suka dengan imejnya yang terlalu "Melayu" dan Islamik.




Anehnya, Anwar sendiri beberapa tahun lalu digelar sebagai 'liberal' oleh beberapa pihak di negara ini. Gelaran itu sering kali diiringi kaitan atau hubungannya dengan Amerika Syarikat serta pandangannya berhubung penyelesaian dua negara bagi konflik Israel dan Palestin.

"Sebelum PRK Port Dickson, ada kalangan super liberal yang menyerang saya, mendakwa saya hanya mewakili padangan Melayu dan Islam semata-mata," katanya lagi.

Anwar juga membangkitkan kecaman yang diterimanya pada 2007 - tempoh-tempoh awal kembali aktif dalam politik selepas bebas daripada penjara buat kali pertama - selepas beliau mengkritik Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Katanya, ketika itu beliau dikatakan berbuat demikian kerana mahu mendapatkan sokongan masyarakat Cina.

“Ada orang dakwa saya serang DEB pada tahun 2007 kerana mahu sokongan orang Cina khususnya DAP. (Sedangkan) Saya sudah tegur konsep DEB sejak 1979 lagi. Boleh baca semula apa yang saya sebut di muktamar Abim pada tahun itu.

"Saya tegur karana ia berasaskan kaum dan hanya menguntungkan segerombolan kecil masyarakat yang kaya, sedangkan ia meminggirkan golongan majoriti yang papa kedana," katanya lagi.

Sedangkan, katanya lagi, perjuagan sebenar reformasi adalah menolak kezaliman dan diskriminasi tanpa mengira kelas masyarakat dan kaum.

Tolak pandangan autoritarian

Sementara itu, beliau turut menggesa umat Islam di negara ini agar lebih terbuka dan tidak merasa terancam dengan perubahan yang berlaku di Malaysia.

Katanya, umat Islam tidak boleh bersikap autoritarian dengan menjadikan undang-undang untuk menutup pandangan yang berbeza.

“Malaysia kini lebih terbuka dan bebas. Mungkin ada umat Islam yang akan berasa terancam dengan perubahan ini.

“Bagaimanapun, kita tak boleh sesekali menyokong golongan yang membawa pendekatan sempit dan autoritarian. Jika kita mahu pertahankan kebebasan ini, kita tak boleh dikekang oleh undang-undang sempit,” katanya lagi.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: