HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Oktober 2018

Dua parti baharu di Sabah tidak lama lagi?


Bekas menteri Anifah Aman (kiri) dan bekas pemimpin MCA Sabah 
Francis Goh membayangkan penubuhan parti baharu.

KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 2 parti baharu akan ditubuhkan di Sabah dan mungkin seiring dengan pakatan politik terbaharu, Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Bekas menteri luar negeri Datuk Seri Anifah Aman membayangkan kemungkinan penubuhan sebuah parti baharu manakala bekas timbalan ketua MCA Sabah Datuk Francis Goh sedang mempertimbangkan pilihan sama.

Meskipun Anifah berkata dia akan kekal sebagai ahli Parlimen bebas buat masa ini, beliau tidak menepis cadangan menubuhkan parti baharu di masa akan datang.

“Kepentingan saya pertama sekali adalah untuk kebaikan rakyat. Saya telah berkata demikian sebelum ini. Bagaimanapun, jika saya benar-benar perlu berada dalam sebuah parti politik untuk menjadi sebahagian daripada GBS, saya akan pertimbangkan penubuhan sebuah parti baharu.

“Jika tidak, saya boleh sertai mana-mana parti di Sabah kerana ada banyak parti politik sekarang ini,” katanya.

Anifah dalam ucapannya di forum tentang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kimanis baru-baru ini membayangkan dia mungkin menubuhkan sebuah parti baharu.

Di acara itu, beliau bertanya kepada lebih 800 hadirin jika mereka akan menyokongnya jika dia bina sebuah “rumah baharu”.

Pertanyaannya disambut tepukan gemuruh daripada hadirin.

Anifah meninggalkan Umno hampir sebulan lalu, mengatakan dia berbuat demikian demi mendapatkan kembali hak Sabah.

Beliau bimbang akan dipaksa membantah sebarang rang undang-undang memulihkan hak Sabah yang kerajaan persekutuan sekarang bentangkan jika dia tidak meninggalkan Umno.

Seorang lagi pemimpin pembangkang yang mungkin menubuhkan parti sendiri adalah ahli perniagaan terkenal, Francis Goh.

Goh, yang tewas di kubu kuat DAP di Kapayan, meletakkan jawatan dalam MCA dan menjadi ahli biasa selepas pilihan raya umum.

Beliau merasakan MCA tidak lagi relevan di Sabah selepas terbubarnya Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Beliau juga menghadiri majlis pelancaran GBS hari ini.

Ditanya mengenai rancanganya, beliau masih mahu menunggu dan lihat perkembangan seterusnya.

“Saya tak rasa seperti mahu menyertai mana-mana parti sekarang ini. Tetapi saya boleh tubuhkan parti sendiri tidak lama lagi. Saya akan umumkan bila tiba masanya,” kataya.

Sabah dilaporkan mempunyai jumlah parti berdaftar tertinggi, dengan 25 parti politik beroperasi di negeri itu.

Tiada ulasan: