HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 Oktober 2018

PRESIDEN UMNO : PERLU PEMILIHAN SEMULA – TENGKU RAZALEIGH



UMNO perlu mengadakan semula pemilihan jawatan Presiden parti itu sekiranya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid terpaksa melepaskan jawatan ekoran pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah memberitahu jemaah itu akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan soal parti termasuk kedudukan Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden parti itu.

Tengku Razaleigh Hamzah, berkata hasil mesyuarat itu akan dibentangkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk tindakan selanjutnya.

Beliau yang juga ahli Parlimen Gua Musang berkata, “saya ada terbaca di akhbar dan blog yang meminta Dr Ahmad Zahid bercuti daripada jawatannya dan ada juga yang memintanya melepaskan jawatan.

“Namun, yang membuat macam-macam permintaan dan gesaan itu bukannya daripada akar umbi parti,” katanya.

“Mengenai apa yang berlaku baru-baru ini, sudah tentu Jemaah Penasihat UMNO akan mengadakan mesyuarat kerana kesannya amat mendalam dan saya kena cermat.

“Dengan apa yang berlaku di mahkamah (pendakwaan Dr Ahmad Zahid), semua perkara itu kena diambil kira,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku ‘The End Of UMNO? Post GE-14’ di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai 45 pertuduhan yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, UMNO perlu diletakkan kembali di atas landasan yang betul kerana sejarah negara adalah hasil perjuangan parti terbabit.

“UMNO masih kuat kerana kita memiliki 49 kerusi di Parlimen. Saya sendiri sudah berusia 82 tahun dan ini adalah penggal terakhir saya. Selepas ini saya akan bersara,” katanya.


Tiada ulasan: