Oleh Lim Guan Eng
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak meneruskan serangan tidak berasas terhadap saya, bukan sahaja
terhadap pendedahan keadaan kewangan negara, malah prestasi saya sebagai
Ketua Menteri Pulau Pinang. Najib mendakwa kejayaan yang saya capai
dalam memulihkan prestasi kewangan negeri Pulau Pinang sehingga menjadi
yang terbaik di Malaysia, adalah kerana kepakaran saya dalam bidang
penjualan tanah kerajaan.
Najib turut mendakwa yang saya telah
menyatakan bahawa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan menghasilkan
pengurangan harga barangan, tetapi sehingga sekarang beliau gagal
menunjukkan sebarang bukti. Saya telah nyatakan bahawa kesan dari
kenaikan harga barang menerusi pelaksanaan SST adalah jauh lebih ringan
berbanding cukai barangan dan perkhidmatan (GST) memandangkan cukai yang
dikutip Kerajaan Persekutuan kurang sebanyak RM23 bilion berbanding
tempoh sebelum GST dimansuhkan. Bayangkan beban harga barang tinggi yang
terpaksa dipikul oleh pembayar cukai sekiranya GST masih berkuat kuasa,
kerana pembayar cukai perlu bayar tambahan RM23 bilion tersebut.
Serangan peribadi Najib ke atas diri saya
menunjukkan beliau terdesak memandangkan kenyataan-kenyataan yang
dikeluarkan tidak lagi berasaskan fakta dan realiti. Kedudukan kewangan
Kerajaan Persekutuan bukan sahaja telah diaudit oleh Ketua Audit Negara,
dan disahkan oleh Akauntan Negara tetapi juga tidak disangkal oleh
institusi antarabangsa.
Hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat
kepada lebih daripada RM1 trilion akibat keborosan, salah guna kuasa
dan penyembunyian kos sebenar RM 50 bilion 1MDB, dan skandal-skandal
kewangan lain seperti skandal saluran paip berjumlah RM9.4 bilion, yang
melibatkan pembayaran 88% atau RM8.3 bilion walaupun kemajuan kerja
hanya 13%, atau projek MRT3 bernilai RM31.5 bilion yang dikurangkan
sebanyak RM15 bilion kepada kos yang disemak semula berjumlah RM16.5
bilion.
Kenaikan mendadak kos projek-projek mega
seperti East Coast Rail Link (ECRL) berjumlah RM 81 bilion, skandal
kewangan di Felda atau kelulusan kontrak memasang gelas kalis-peluru di
Kementerian Kewangan yang berjumlah lebih dari RM 6 juta tidak dapat
dinafikan oleh Najib. Najib juga tidak boleh menafikan bahawa hanya
RM450 juta (disahkan oleh Akauntan Negara) yang ditinggalkan kepada
kerajaan baru pada 30 April 2018 dalam Akaun Hasil Disatukan untuk
pembayaran gaji dan pencen bulanan berjumlah RM8 bilion, atau kegagalan
BN membuat pembayaran balik GST yang berjumlah RM19.4 bilion dalam masa 2
tahun, atau kegagalan BN membuat pembayaran balik cukai berjumlah RM16
bilion selama 6 tahun.
Najib juga silap dalam menyatakan prestasi
kewangan negeri Pulau Pinang yang selama 10 tahun ini mencatatkan bajet
lebihan setiap tahun, pengurangan hutang negeri sebanyak 90% serta
peningkatan rizab aset sebanyak 140% adalah disebabkan oleh penjualan
tanah kerajaan untuk keuntungan.
Kerajaan Pakatan Pulau Pinang hanya
menjual 106 ekar atau kurang dari 36 kali ganda berbanding dengan 3,661
ekar tanah yang dijual oleh kerajaan BN sebelum ini.
Keuntungan yang dikaut oleh Kerajaan
Pakatan melalui penjualan tanah melalui tender terbuka jauh lebih besar,
berbanding dengan penjualan yang dilakukan oleh Kerajaan BN melalui
rundingan terus, meskipun tanah yang dijual Pakatan adalah 36 kali ganda
lebih kurang berbanding dengan tanah yang dijual Kerajaan BN. Hasil
dari penjualan tanah oleh Kerajaan Pakatan disalurkan untuk projek
perumahan mampu milik, dan baki yang digunakan hanya 10.4% dari
perbelanjaan negeri. Jadi, dakwaan bahawa hasil dan lebihan kerajaan
negeri hanya datang dari penjualan tanah adalah tidak benar.
Sebagai contoh, tanah yang ditebus semula
berhampiran Persiaran Gurney di Pulau Pinang dijual oleh Kerajaan BN
pada harga RM1 setiap kaki persegi, dan 10% tanah yang ditebus semula
diberikan kepada kerajaan negeri. Di bawah kerajaan Pakatan Pulau
Pinang, kadar pemberian tanah yang ditebus sebanyak 10% telah dirunding
semula dan dinaikkan kepada 20% untuk kerajaan negeri.
Begitu juga
dengan hasil jualan tanah yang ditebus berhampiran Butterworth, hanya 5%
hasil jualan oleh kerajaan BN diberikan kepada kerajaan negeri. Sekali
lagi, Kerajaan Pakatan membuat rundingan semula dan meningkatkan harga
tanah yang ditebus di Butterworth dari 5% hingga 35%, atau 7 kali ganda
lebih tinggi diberi kepada kerajaan negeri.
Malangnya bagi Kerajaan BN, skandal 1MDB
membebankan rakyat Malaysia dengan hutang RM50 bilion tanpa membawa
sebarang manfaat kepada rakyat, sama ada dalam bentuk tunai atau aset
tanah.
Kerajaan Pakatan tidak akan menggadaikan negara kepada orang
asing, dan tidak akan terlibat dalam penjualan aset kerajaan pada kadar
yang rendah, tetapi memastikan kita akan mendapatkan nilai tertinggi
melalui proses tender terbuka. – Roketkini.com
*Kenyataan media oleh Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2018.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan