HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Oktober 2018

Syed Saddiq hargai usaha dilakukan SPRM tahan 15 Pegawai KBS



Syed Saddiq hargai usaha dilakukan SPRM tahan 15 Pegawai KBS

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menyatakan penghargaan peribadinya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah(SPRM) kerana menahan 15 pegawai dari kementerian itu semalam.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SPRM kerana cepat bertindak & benteng utama dalam memerangi najis rasuah. 15 pegawai belia dan sukan KBS ditahan SPRM semalam.

“Saya bertekad untuk jadikan KBS kementerian No-1 dalam bab urustadbir baik, cekap dan amanah,” ujarnya dalam kenyataan har ini.

Beliau mengulas mengenai tangkapan dilakukan oleh SPRM di Negeri Johor semalam ke atas 15 Pegawai KBS untuk membantu siasatan berkaitan tuntutan palsu.

Penahanan kesemua pegawai terbabit adalah susulan tangkapan beberapa individu dibuat pada 1 Oktober lalu.

Hasil siasatan mendapati kesemua suspek tersebut bersubahat dengan kontraktor-kontraktor dalam membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Liga Sukan Untuk Semua Daerah di Ledang, Mersing, Muar, Batu Pahat, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi bagi tahun 2015 sedangkan ia tidak dilaksanakan.

Jumlah keseluruhan tuntutan palsu yang telah dituntut adalah melebihi RM90,000.

Kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50an merupakan pegawai belia dan sukan yang bertugas di pejabat belia dan sukan daerah di negeri ini.

Mereka ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira jam 12 tengahari tadi.

Suspek yang terdiri lelaki dan wanita ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Menurut Syed Saddiq lagi, kementeriannya telah melancarkan 5 pelan integriti pada Ogos lalu untuk memperkukuhkan integriti dalam KBS di bawah pimpinannya.

Antara pelan integriti yang digariskan adalah menerusi tender terbuka, pegawai SPRM ditempatkan di pejabat KBS dan melapor terus ke SPRM dan bukan ke pejabat menteri.

Selain itu pelan intergiri ini juga mengariskan Laporan Mitigasi Tangani Rasuah, audit lengkap dan Pegawai di Pejabat Menteri perlu mengisytiharkan harta ke SPRM.

Tiada ulasan: