M Ramachelvam, yang mengetuai Jawatankuasa Reformasi Institusi dan Undang-undang Majlis Peguam berkata, pesanan Whatsapp, video dan gambar berkaitan IS, yang kini membolehkan pemiliknya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma, tidak secara automatik membuktikan kesalahan seseorang.
“Penyiasatan menyeluruh mesti dijalankan bagi menentukan sama ada seseorang itu terlibat dalam kegiatan keganasan. Majlis Peguam berpendapat Sosma tidak perlu dan perlu ditamatkan,” katanya.
Ramachelvam berkata, kegiatan berkait keganasan sudah pun diliputi di bawah Akta Keterangan dan Kanun Keseksaan.
Beliau memberi respons tersebut berikutan protes 100 ahli keluarga tahanan Sosma di luar Parlimen minggu lepas.
Ramai mendakwa anggota keluarga mereka ditahan kerana pesanan Whatsapp, gambar dan video berkaitan keganasan yang disimpan dalam telefon bimbit.
Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli, penasihat Desak Sampai Mansuh, sebuah kumpulan pendesak yang menuntut pemasuhan Sosma berkata, wujud beberapa pelabelan yang ditakrifkan secara longgar dalam akta tersebut.
Katanya, takrif pengganas atau keganasan tidak seharusnya meliputi sesiapa yang memiliki gambar atau video yang berkaitan, tetapi perlu wujud pertimbangan lebih teliti bagi menentukan sama ada seseorang itu terlibat dengan keganasan atau sebaliknya.
Seorang wanita berumur 59 tahun dari Klang, yang anaknya ditahan di bawah Sosma pada Mac tahun lepas memberitahu FMT semasa protes berkenaan, “saya fikir menyimpan gambar atau video yang diperolehi secara bebas di Internet adalah hak peribadi seseorang. Telefon bimbit adalah barang milik peribadi.”
Wanita itu yang enggan dikenali, berharap kerajaan akan memansuhkan Sosma dan membebaskan tahanan yang menurutnya, selalu berhadapan dengan layanan buruk.
“Mereka tidak sepatutnya dipenjarakan kerana gambar dan video yang ditemui dalam telefon bimbit,” katanya.
Rusni Abdul Razak, 50, berkata, suaminya kini menjalani hukuman penjara 7 tahun kerana memindahkan wang kepada anak mereka yang berada di Syria.
“Saya boleh terima kalau suami saya melakukan kesalahan, kalau mereka mahu menghukumnya sebagai satu amaran kepada orang lain, tetapi hukuman mestilah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan