PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak meminta orang ramai merujuk kenyataan Lim Guan Eng tentang jualan tanah di Pulau Pinang di laman peribadi pemimpin DAP itu, selepas bekas ketua menteri itu berkata hanya 106 ekar tanah negeri dijual dalam 10 tahun pentadbirannya.
Najib cuba menyangkal kenyataan tersebut dengan merujuk kepada kenyataan 12 Januari 2014 di mana Lim bercakap tentang Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang menjual tanah kepada Aspen Vision Land Sdn Bhd dan Ikano Pte Ltd pada harga RM484 juta.
“Tidak perlu untuk mengulas panjang lebar jika mahu mematah ketidakjujuran beliau. Kita hanya perlu merujuk kepada kenyataan Guan Eng sendiri pada masa silam di mana hanya satu penjualan tanah ini sahaja sudah 245 ekar.
“Biar Guan Eng bongkarkan Guan Eng,” katanya di Facebook.
Lim dalam kenyataan 17 Oktober lalu membidas Najib kerana membuat “serangan tidak berasas” terhadap prestasinya sebagai ketua menteri, selepas Najib mendakwa prestasi kewangan Pulau Pinang yang mencatatkan bajet lebihan setiap tahun, pengurangan hutang negeri sebanyak 90% serta peningkatan rizab aset sebanyak 140% disebabkan oleh penjualan tanah kerajaan.
Lim berkata pentadbiranya hanya menjual 106 ekar berbanding 3,661 ekar tanah yang dijual oleh pentadbiran BN sebelum ini, tetapi ia mengaut keuntungan jauh lebih besar melalui tender terbuka.
“Hasil dari penjualan tanah disalurkan untuk projek perumahan mampu milik, dan baki yang digunakan hanya 10.4% dari perbelanjaan negeri. Jadi, dakwaan bahawa hasil dan lebihan kerajaan negeri hanya datang dari penjualan tanah adalah tidak benar,” katanya.
Bekas perdana menteri hari ini bagaimanapun mendakwa pentadbiran Lim menjual dan memberi tanah ataupun hak tanah milik kerajaan negeri sebanyak 5,776 ekar.
“Ini termasuk 2 projek PPP (kerjasama awam swasta) untuk projek terowong yang kini tiada apapun boleh dilihat dan projek PTMP (Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang) di mana hak penambakan tanah diberi,” katanya.
Mengenai pengurangan hutang negeri, Najib menyorot perhatian kepada kenyataan Lim pada 1 Jun 2011 di mana bekas ketua menteri itu bercakap tentang memindahkan aset teras Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang sebagai pertukaran penyelesaian penstrukturan semula baki pinjaman persekutuan yang dimiliki Pulau Pinang.
Najib berkata kenyataan itu mengenai kerajaan pusat menolong Pulau Pinang mengurangkan hutang kerajaan negeri sebanyak 95% dengan menstruktur semula aset air dan sekaligus mengurangkan hutang sebanyak RM655 juta pada masa itu.
“Internet tak pernah lupa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan