HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Oktober 2018

Zahid anggap mahkamah tempat terbaik untuk buat pembelaan

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya mahkamah adalah tempat terbaik untuk beliau membela diri terhadap 45 pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah yang dihadapinya.

Presiden UMNO itu juga berkata beliau redha dengan semua pertuduhan itu walaupun niat baiknya melakukankan kerja amal dianggap sebagai melanggar perundangan.

“Saya akan guna mahkamah sebagai tempat terbaik bukan hanya sebagai tempat untuk melakukan pembelaan terhadap semua pertuduhan berkenaan tetapi untuk menjelaskan perkara yang sebenar termasuk dalam pertuduhan berkenaan.

“Apa pun pendapat yang berbeza di luar sana dalam kalangan masyarakat saya serahkan kepada Allah untuk menentukan dan dengan kerja-kerja baik yang saya buat dengan niat untuk menegakkan agama Allah, mudah-mudahan Allah beri perlindungan kepada saya,” katanya selepas selesai sesi pendakwaan di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Selain itu, Ahmad Zahid juga mengambil kesempatan berjumpa dengan ratusan penyokongnya yang telah menunggu lama sejak 7 pagi tadi.

Anggota Parlimen Bagan Datuk itu turut berkata beliau akan membuktikan bahawa usahanya membina beberapa premis seperti maahad taafiz, masjid, surau, dan rumah anak yatim menggunakan dana sebuah yayasan adalah dengan niat baik dan tiada penyelewengan berlaku.

“Ini bagaimanapun bukan tempat terbaik untuk saya menjelaskan perkara ini, tetapi di mahkamah nanti saya akan perjelaskan,” katanya.

Turut hadir adalah isteri kepada bekas Menteri Dalam Negeri itu, iaitu Datin Seri Hamidah Khamis dan anak mereka Datuk Nurulhidayah.

Ahmad Zahid meninggalkan perkarangan mahkamah pada kira-kira pukul 1.15 petang menaiki kenderaan Toyota Land Cruiser.

Ahmad Zahid ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya pada 3.15 petang semalam berhubung siasatan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid menghadapi 45 pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan dia diikat jamin RM2 juta bagi kesemua pertuduhan itu.– Bernama

Tiada ulasan: